Oleh Muhamad Amir Aiman Azlan
SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Bermula sebagai perusahaan kecil tanpa jenama di belakang rumah, sebuah perniagaan kacang tumbuk di Jenjarom, Kuala Langat menjadi bukti ketahanan legasi keluarga dalam mengekalkan daya saing makanan ringan tradisional, khususnya semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
Diasaskan pada 1984 oleh Tan Hook Heeng, perusahaan itu pada awalnya beroperasi kecil-kecilan dengan kaedah pembuatan tradisional bagi dua produk utama iaitu kacang tumbuk dan kacang pipang.
Ketika itu, hampir keseluruhan proses dilakukan secara manual, iaitu kacang ditumbuk menggunakan lesung kayu besar, diratakan dengan penggelek kayu dan dipotong satu persatu sebelum dibungkus ringkas dalam plastik lut sinar tanpa jenama.
Perniagaan yang bergantung sepenuhnya kepada jualan borong itu berjaya menembusi pasaran Singapura meskipun tanpa identiti komersial, namun operasi hampir terhenti pada awal tahun 2000 akibat pengeluaran merosot kerana kekurangan tenaga kerja.
Jennifer Tan Siew Lee, 37, yang kini menerajui perniagaan keluarga berkenaan berkata ketika itu bapanya telah berusia lebih 60 tahun dan mereka hanya mempunyai dua pekerja tetap.
“Saya pernah terfikir untuk menamatkan sahaja perniagaan ini kerana keadaan semakin sukar tetapi ibu bapa saya memikirkan nasib dua pekerja yang sekian lama masih setia bersama kami kerana jika ditutup ke mana mereka hendak pergi,” katanya kepada Bernama.
Tan berkata dia yang ketika itu bekerja dalam industri farmaseutikal di Kuala Lumpur mengambil keputusan berhenti kerja demi menyambung legasi keluarga.
Titik perubahan perniagaan itu bermula apabila dia menyedari potensi sebenar produk tersebut ketika melancong ke Taiwan bersama keluarga pada 2013.
“Selama ini saya sering membawa kacang tumbuk kami ke tempat kerja atau ketika belajar dan ramai yang memuji rasanya yang segar dan sedap, tetapi mereka tidak tahu di mana hendak membelinya dan dari situ saya sedar sebenarnya kita masih ada pasaran.
“Semasa melancong di Taiwan, saya lihat pembungkusan buah tangan di sana sangat menarik dan tersusun, jadi saya mula sedar kelemahan kami adalah pada penjenamaan dan pembungkusan. Dulu produk kami hanya dibungkus plastik biasa dan dihantar melalui orang tengah tanpa identiti atau jenama yang jelas,” katanya.
Dengan semangat baharu, pada 2014 dia mengambil keputusan pulang ke Jenjarom untuk berganding bahu bersama adiknya menyusun semula operasi perniagaan serta menggunakan mesin moden bagi mempercepatkan proses pengeluaran, sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Dalam tempoh lapan bulan, mereka berjaya mengumpulkan semula tenaga kerja tempatan sebelum memindahkan operasi ke premis kedai pada 2015 yang terletak berdekatan dengan Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, di sini, yang menjadi tumpuan pelancong setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.
“Setiap tahun, ramai pelancong datang ke tokong tersebut tetapi pilihan buah tangan agak terhad, jadi kami melihat kacang tumbuk ini mempunyai potensi besar untuk memenuhi pasaran tersebut. Ketika itu, kami hanya mempunyai dua ‘master’ (pakar) sahaja,” katanya.
Tan dan adiknya kemudian mencari semula bekas pekerja separuh masa mereka dan berjaya mengumpulkan 18 tenaga kerja tempatan berusia antara 16 hingga 18 tahun dalam tempoh lapan bulan.
Kini, daripada perniagaan tanpa nama, jenama Heritaste yang dipilih terus berkembang melalui jualan dalam talian serta segmen perniagaan ke perniagaan (B2B).
Produk yang dahulunya hanya dibungkus plastik kini tampil dengan reka bentuk moden dan kotak pembungkusan yang kemas serta menarik, sesuai dijadikan buah tangan.
Baru-baru ini, kacang tumbuk tersebut turut menarik perhatian Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin untuk dijadikan buah tangan rasmi, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada penjenamaan semula produk berkenaan.
Tan yang merupakan lulusan bidang statistik berkata jumlah jualan meningkat hampir 100 peratus sejak dia mengambil alih pengurusan.
Selain mengekalkan resipi tradisional, Heritaste kini turut memperkenalkan inovasi baharu seperti perisa Oreo, kelapa serta versi kurang gula, selain menghasilkan pumpkin seed cracker bagi pelanggan yang mempunyai alahan terhadap kacang.
“Bagi kami, produk hanyalah medium. Kami menggunakan bahan asli dan mengekalkan rasa autentik. Paling penting, apabila orang makan bersama keluarga atau rakan-rakan sambil minum teh dan menikmati snek ringkas seperti ini, mereka dapat menghargai detik kebersamaan itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial