AM > BERITA

Kerajaan Terus Fokus Tambah Baik Kuarters Tentera, Polis Yang Uzur – PM Anwar

19/02/2026 12:39 PM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan terus memberikan fokus kepada usaha menambah baik kuarters tentera dan polis yang telah uzur demi keselesaan anggota pasukan keselamatan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam perancangan sedang dibincangkan sekarang, terdapat beberapa pembaikan kuarters telah diambil tindakan.

“Perumahan polis kita dah ambil tindakan sepertinya (demikian juga) tentera, jadi kita akan lebih fokus. Tahun-tahun lepas RM1 bilion telah diberikan kepada kuarters tentera dan polis untuk baik pulih rumah yang sangat uzur,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, Saifuddin Nasution dalam ucapannya memohon agar Ketua Setiausaha Perbendaharaan melalui Belanjawan akan datang dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan terletak pada satu pihak sahaja.

“Tanggungjawab membangunkan negara ini bukan tanggungjawab satu pihak. Sama sepertimana kita tengok aspek keamanan, ada kata ini tanggungjawab polis saja, tak betul. Ini tanggungjawab semua.

“Guna Ramadan ini sebagai masa kita kemaskan diri kita, perbaiki prestasi kita, betulkan apa-apa kekurangan dan kelemahan dalam diri kita. Kemudian usahakan supaya negara ini lebih teratur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain atas ketangkasan dan kecekapan mereka, namun mengingatkan supaya tidak leka.

“Saya bangga dengan prestasi tugas saudara-saudari setakat ini, tetapi jangan kita leka. Kita nilai diri kita sendiri... jangan kita merosot,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan