AM > BERITA

Mangsa Kebakaran Kampung Orang Asli Dipindah Sementara Ke PPR Taman Cendana

20/02/2026 05:59 PM

JOHOR BAHRU, 20 Feb (Bernama) -- Sebanyak 143 mangsa kebakaran daripada 40 keluarga di Kampung Orang Asli Teluk Jawa di sini dijangka dipindahkan sementara ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana di Pasir Gudang.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor Faisal Long berkata perpindahan itu bagi menyediakan tempat tinggal sementara sehingga pembinaan rumah kekal mereka di tanah rizab Orang Asli seluas 10.7 hektar di Kuala Masai siap.

Beliau berkata setakat ini, kesemua mangsa daripada suku Seletar masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Megah Ria sejak kebakaran berlaku.

“Kita telah memujuk dan memberi penerangan mengenai proses perpindahan dan mereka kini bersedia untuk berpindah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Faisal berkata penempatan itu secara percuma di bawah inisiatif kerajaan negeri dengan tempoh menetap di PPR Taman Cendana bergantung kepada pembinaan rumah kekal tersebut. 

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan JAKOA dijalankan bagi memastikan proses penempatan berjalan lancar dan memenuhi keperluan masyarakat Orang Asli,” katanya. 

Terdahulu, Faisal melawat kawasan cadangan penempatan baharu di Kuala Masai bagi meninjau keadaan kampung serta menilai keperluan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi komuniti setempat.

Lawatan itu disertai Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jakoa Mahat Mat Dong, Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi JAKOA Muhamad Abu Bakar serta Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Johor Amy Lydia Adnan.

Kebakaran pada 12 Feb memusnahkan kediaman Orang Asli yang rata-ratanya dibina di atas air menyebabkan lebih 100 penduduk kehilangan tempat tinggal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan