DUNIA > BERITA

PM SINGAPURA UCAP TERIMA KASIH KEPADA PM ANWAR ATAS UNDANGAN BERBUKA PUASA SEMPENA LAWATAN KHAS KE KL

21/02/2026 12:14 AM

SINGAPURA, 20 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri (PM) Singapura Lawrence Wong menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas undangan berbuka puasa semasa lawatan khas beliau ke Malaysia pada Jumaat.

"Terima kasih PM Anwar Ibrahim atas undangan untuk menyertai anda berbuka puasa di Kuala Lumpur, bertempat di Seri Negara yang bersejarah," katanya dalam hantaran di akaun Facebook rasmi beliau pada Jumaat.

Wong tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.05 petang, Jumaat untuk lawatan khas sehari, dan berlepas pulang dari ibu negara  itu pada pukul 11.17 malam.

Kedua-dua perdana menteri mengadakan pertemuan di Seri Negara, Kuala Lumpur, di mana Anwar turut menghoskan majlis makan malam bagi meraikan lawatan Wong.

"Saya amat menghargai layanan mesra yang diberikan, serta peluang untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai pelbagai isu.

"Mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang penuh barakah kepada anda dan seluruh rakyat Malaysia. Saya menantikan pertemuan kita yang seterusnya," kata Wong.

Sebelum mesyuarat empat mata itu, kedua-dua pemimpin turut melawat beberapa galeri di mercu tanda bersejarah itu, termasuk Ruang Merdeka: Galeri Khazanah.

Singapura merupakan jiran terdekat dan rakan kongsi utama Malaysia dalam ASEAN, dengan hubungan erat dan meluas merangkumi pelbagai sektor.

Singapura juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan