AM > BERITA

Kampung Terputus Akses Komunikasi Akibat Banjir Akan Dibekalkan Internet Satelit Starlink

21/02/2026 06:28 PM

PAITAN, 21 Feb (Bernama) -- Kampung yang terputus rangkaian komunikasi di Paitan dan kawasan lain yang dilanda banjir akan dibekalkan perkhidmatan Internet satelit Starlink sementara bagi memastikan penduduk mendapat akses komunikasi untuk bantuan sewajarnya.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata Sabah Net Sdn Bhd sebagai pelaksana telah diarahkan membekalkan segera perkhidmatan berkenaan secara percuma ke kawasan terputus akses komunikasi berikutan pusat menara komunikasi ditenggelami air.

"Starlink ini berfungsi walaupun tidak ada bekalan elektrik kerana ia tidak memerlukan sumber tenaga elektrik ataupun gensit tetapi boleh dihidupkan dalam kereta sahaja untuk sementara. Starlink ini (boleh berfungsi) sebagai akses komunikasi sementara waktu ini.

"Begitu juga, perkhidmatan ini akan dibekalkan kepada pihak keselamatan kerana ada juga tempat yang sukar untuk dihubungi seperti di Paitan ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Binsulung serta Sekolah Menengah Kebangsaan Simpangan, di sini ,hari ini 

James berkata banjir di Paitan merupakan antara terbesar dalam sejarah kawasan Dewan Undangan negeri Sugut yang melibatkan 87 kampung dan setakat ini 22 PPS dibuka bagi menempatkan 250 ketua isi rumah membabitkan 700 mangsa terjejas.

"Kerajaan turut membekalkan perahu serta enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS. Langkah penyediaan kemudahan komunikasi serta aset logistik ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, dan bantuan teratur," katanya.

Sementara itu, James berkata beliau akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berhubung keperluan menunda pembukaan sekolah pada Isnin ini kerana terdapat 19 sekolah di Paitan yang terjejas akibat banjir.

"Kemungkinan besar kita akan tunda persekolahan pada (Isnin), kerana kebanyakan sekolah masih ditenggelami air, dan mungkin juga banyak kerosakan yang perlu diganti seperti kerusi, komputer, peralatan sekolah, peralatan guru, keseluruhannya ditenggelami air," katanya.

Berhubung kerosakan itu, beliau berkata akan turut berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menangani perkara tersebut dengan segera.

James berkata pihaknya akan turut melawat kawasan sekolah terjejas banjir di Kota Marudu dan Pitas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan