AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Sabah Terus Meningkat, Sarawak Buka PPS Pertama

21/02/2026 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Situasi banjir di Sabah dilaporkan semakin memburuk petang ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan, manakala Sarawak mula mengaktifkan PPS pertamanya di Kuching.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,652 orang setakat 4 petang ini berbanding 3,768 orang pada 12 tengah hari tadi.

“Kesemua mangsa daripada 1,799 keluarga itu ditempatkan di 25 PPS di tiga daerah terjejas iaitu Pitas, Kota Marudu dan Paitan.

“Daerah Pitas mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 2,013 orang (787 keluarga) berbanding 1,653 orang (621 keluarga) tengah hari tadi, manakala Paitan merekodkan peningkatan mendadak kepada 716 mangsa (234 keluarga) berbanding 192 mangsa sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di Kota Marudu, jumlah mangsa kekal seramai 1,923 orang daripada 778 keluarga.

Sementara itu, di SARAWAK, JPBN negeri itu menerusi satu kenyataan memaklumkan sebuah PPS dibuka di Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong, Kuching pada 11 pagi tadi.

“Seramai 63 mangsa daripada 17 keluarga telah dipindahkan ke PPS berkenaan dan trend pemindahan mangsa ketika ini menunjukkan peningkatan,” menurut kenyataan itu.

Rabu lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca lembap berterusan di Sabah dan Sarawak sepanjang minggu ini, dengan hujan dijangka berlaku di beberapa kawasan susulan luruan angin monsun yang memasuki rantau negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan