AM > BERITA

Banjir Sabah: Kerajaan Teliti Projek Tebatan Banjir Di Kawasan Kerap Terjejas

22/02/2026 05:14 PM

KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan meneliti pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang sering terjejas banjir di Sabah sebagai langkah jangka panjang menangani bencana itu yang semakin kerap berlaku akibat perubahan cuaca dan pemanasan global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata fenomena cuaca ekstrem yang berlaku bukan sahaja di Sabah malah di seluruh dunia menuntut pendekatan lebih menyeluruh termasuk meneliti pembinaan infrastruktur tebatan banjir.

“Sebenarnya ini isu pemanasan global, isu alam sekitar. Memang sekarang ini dengan peningkatan suhu dunia dan perubahan cuaca menyebabkan banjir semakin kerap.

“Jadi di pihak kerajaan kita akan meneliti, yang pertama tentang projek tebatan banjir. Ini yang kita boleh laksanakan. Projek tebatan banjir dan di tempat yang terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ukhuwah MADANI di sini hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata pada masa sama kerajaan terus memantau rapat situasi banjir semasa dengan menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin.

“Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga kita gerakkan untuk pergi ke setiap PPS dan melihat keperluan serta kebajikan mangsa banjir.

“Saya akan membantu dari segi mempercepatkan, pergerakan agensi berkaitan ke lokasi banjir dan yang sumbangan yang akan diberikan kepada yang mendaftar di pusat penempatan sementara di semua tempat,” katanya.

Mustapha berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada pemantapan sistem penyaluran maklumat dan amaran awal cuaca agar penduduk di kawasan berisiko dapat membuat persediaan lebih awal.

Setakat 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Sabah menurun kepada 3,266 orang daripada 1,401 keluarga berbanding 5,141 orang daripada 2,160 keluarga pada 8 pagi tadi.

Bencana banjir di daerah Kota Marudu diisytiharkan pulih sepenuhnya pada 11 pagi ini susulan keadaan cuaca yang bertambah baik dan paras air yang telah surut, namun daerah Pitas, Paitan dan Tawau masih terjejas.

Program Ukhuwah MADANI yang dirasmikan beliau merupakan inisiatif program kemasyarakatan selama dua hari bermula semalam yang melibatkan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Sepanggar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dalam mengagihkan 10,000 pek bubur lambuk kepada komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan