AM > BERITA

RUU Asing Peranan Peguam Negara: PM Tiada Peranan Lantik Calon Pendakwa Raya

23/02/2026 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak memperuntukkan sebarang peranan kepada Perdana Menteri dalam pelantikan Pendakwa Raya.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata menerusi RUU itu, pelantikan Pendakwa Raya bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas diluluskan oleh Majlis Raja-Raja, dengan tempoh perjawatan selama tujuh tahun.

Beliau berkata calon untuk dilantik ke jawatan itu akan dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

“Idea asal ialah untuk memisahkan campur tangan politik dalam aspek pelantikan Pendakwa Raya dan sebab inilah kita tidak meletakkan peranan ahli politik, termasuk Perdana Menteri, sebab kita mahu memastikan beliau (Pendakwa Raya) berlaku adil ketika menjalankan tugas.

 “Kita khuatir Pendakwa Raya akan terikut-ikut dengan rentak kelompok tertentu yang menentukan pelantikannya, jika proses berkenaan turut membabitkan yang berhormat atau ahli politik," katanya pada sesi Taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bagi RUU itu di Dewan Serbaguna Parlimen hari ini.

Mohd Dusuki berkata pelantikan Pendakwa Raya juga tidak boleh membabitkan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri selain perlu memiliki pengalaman litigasi sekurang-kurangnya 10 tahun.

Hadir ke taklimat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Terdahulu, Azalina membentangkan RUU itu dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri bagi bacaan kali partama di Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata walaupun RUU berkenaan menetapkan Pendakwa Raya memegang jawatan itu untuk tempoh tujuh tahun namun penyandang boleh mengemukakan permohonan lantikan semula atau pelanjutan kepada SPKP untuk pertimbangan.

“Kita tidak mahu menjadikan pembaharuan tempoh perjawatan Pendakwa Raya ini secara automatik sebaliknya individu terbabit perlu memohon bagi tujuan berkenaan supaya SPKP boleh menilai semula (prestasi).

“Pendakwa Raya juga tidak mempunyai obligasi untuk menjawab kepada Parlimen kerana perjawatan berkenaan bukan lantikan politik sebaliknya bertindak sebagai sebuah badan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan