EKONOMI > BERITA

POS MALAYSIA CATAT KERUGIAN BERSIH RM209.26 JUTA

23/02/2026 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM209.26 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 berbanding kerugian bersih RM202.67 juta pada tahun kewangan 2024.

Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan kerugian sebelum cukai dalam segmen posnya bertambah baik akibat peningkatan volum bungkusan dan kos operasi yang lebih rendah, manakala keuntungan bagi segmen penerbangan meningkat walaupun kos operasi melonjak.

Segmen logistik mencatatkan kerugian bersih disebabkan oleh hasil yang lebih rendah, manakala kos operasi kekal sebahagian besarnya disebabkan oleh penyelenggaraan berjadual, kos pembaikan dan penyelenggaraan utama kapal-kapal semasa berada di dok kering.

Segmen yang lain turut menyaksikan penurunan keuntungan susulan peningkatan kerugian daripada kedai perniagaan runcit disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi.

Pendapatan Pos Malaysia bagi tahun ini merosot kepada RM1.84 bilion berbanding                       . RM1.85 bilion sebelumnya, walaupun segmen pos mencatatkan pertumbuhan yang disokong oleh lonjakan sumbangan daripada perniagaan kurier dan runcit, serta pendapatan kargo dan katering dalam penerbangan yang lebih kukuh dalam segmen penerbangan, disokong oleh jumlah makanan yang lebih tinggi.

Hasil daripada segmen logistiknya pula jatuh disebabkan penurunan dalam aktiviti marin yang berpunca oleh masa henti kapal yang agak lama ketika berada di dok kering. Selain itu, terdapat pengurangan jumlah dalam pengurusan kargo, logistik automotif dan pengangkutan laut kenderaan berikutan peningkatan persaingan serta kekangan kapasiti.

Segmen lain Pos Malaysia mencatatkan penambahan hasil terutamanya daripada jualan sijil digital dan perniagaan percetakan serta sisipan, difaktorkan oleh volum jualan yang lebih baik daripada pelanggan utama.

 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, kumpulan itu merekodkan kerugian bersih berjumlah RM77.09 juta berbanding kerugian bersih RM77.16 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2024, manakala hasil menokok kepada RM467.81 juta daripada RM458.63 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata prestasi pada tahun kewangan 2025 mencerminkan daya tahan operasi terasnya dan hasil berterusan usaha transformasi yang telah dilaksanakan oleh syarikat itu.

 

“Kami melihat momentum positif dalam jumlah bungkusan, peningkatan dalam kecekapan operasi dan kemajuan mantap dalam memodenkan rangkaian kami di seluruh negara. 

“Fokus kami adalah untuk menyampaikan kecemerlangan perkhidmatan yang konsisten, meningkatkan pengalaman pelanggan dan membina Pos Malaysia yang lebih mampan, sedia masa depan,” katanya melalui satu kenyataan.

Syarikat itu ketika mengulas mengenai prospek berkata ia merancang untuk terus menyesuaikan diri dengan cabaran struktur yang ketara, termasuk penurunan jumlah mel dan jualan runcit serta isu berkaitan kawal selia.

 

Segmen penerbangannya dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan penumpang yang berterusan dan pengembangan keupayaan kejuruteraannya, manakala Pos Logistics akan terus melaksanakan pelan pemulihannya dengan memberi tumpuan kepada keuntungan bahagian pasaran dan pengoptimuman aset.

“Kumpulan terus berunding rapat dengan kerajaan, pengawal selia, dan penggubal dasar bagi menghasilkan Akta Perkhidmatan Pos yang relevan pada masa hadapan serta pendekatan yang mampan dalam memenuhi Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO).

“Walaupun keadaan pasaran kekal mencabar, kumpulan itu tetap optimistik dengan berhati-hati bahawa usaha transformasinya akan memacu peningkatan yang mantap pada tahun kewangan 2026,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan