AM > BERITA

Kerajaan Salur RM15.4 Juta Bantuan Kebajikan Kepada 2,905 Orang Asli Tahun Lepas - Nancy

23/02/2026 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan menyalurkan sebanyak RM15.4 juta kepada 2,905 masyarakat Orang Asli pada tahun lepas bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup, termasuk kepada golongan wanita komuniti itu yang terkesan selepas berlaku penceraian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan bersifat sementara itu disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Ia merangkumi pelbagai skim termasuk Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas serta bantuan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga melaksanakan Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS) serta Program KasihNita untuk membantu wanita termasuk ibu tunggal dan keluarga yang melalui proses perceraian untuk mengetahui hak mereka, membantu mereka berdikari dan seterusnya mempunyai sumber kewangan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad tentang langkah kementerian itu dalam melindungi kebajikan wanita dan kanak-kanak Orang Asli khususnya berhubung isu kemiskinan, keciciran pendidikan dan pengabaian selepas berlaku penceraian. 

Bagi usahawan wanita Orang Asli, Nancy berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui JAKOA memperkenalkan Program Sokongan Usahawan Orang Asli (PSUOA) dengan bantuan pembangunan kapasiti sehingga RM15,000, termasuk latihan kemahiran dan kit permulaan perniagaan.

“Dalam usaha menangani keciciran pendidikan, kerajaan melalui JAKOA juga menyediakan Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP) meliputi pakaian seragam, keperluan asrama, pengangkutan serta insentif wang saku.

“Bagi pendidikan awal kanak-kanak, fasiliti tadika dibina dan dinaik taraf, memberi manfaat kepada 4,596 murid di kawasan pedalaman,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian diterajuinya juga menyediakan perkhidmatan perlindungan dan intervensi sosial, termasuk pengurusan kes, kaunseling dan rujukan kepada agensi berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan wanita serta kanak-kanak, termasuk mereka yang terkesan selepas perceraian sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan