AM > BERITA

Malaysia Perkukuh Kepercayaan, Kerjasama Diplomasi Antarabangsa

23/02/2026 10:06 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmen untuk menjalin hubungan konstruktif dan kerjasama saling menghormati dengan semua rakan antarabangsa, selaras dengan prinsip diplomasi negara yang sekian lama diamalkan iaitu kepercayaan, keikhlasan dan persefahaman.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia terus mengamalkan pendekatan seimbang dan pragmatik dalam menguruskan hubungan antarabangsa.

“Kita menghargai persahabatan yang terjalin, dan akan terus memupuk dengan sikap saling menghormati dan ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berbuka puasa Kementerian Luar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamad berkata pengurusan dasar luar memerlukan ketekunan memandangkan ia sering dijalankan di luar pandangan umum.

“Persekitaran global hari ini sangat mencabar. Perkembangan pantas dan isu-isu saling berkait. Ruang untuk salah faham adalah terhad. Dalam keadaan ini, keteguhan menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara terbuka dan bergantung kepada perdagangan, akan memastikan pelaksanaan diplomasi dilakukan secara tersusun dan selaras.

“Ia mesti disokong oleh institusi yang cekap dan proses terperinci. Inilah asas untuk memastikan kestabilan, membolehkan perniagaan beroperasi, pelajar mengembara, keluarga berasa selamat serta negara dapat merancang masa depan dengan yakin,” katanya.

Terdahulu, Anwar merasmikan Pelan Strategik Kementerian Luar 2026-2030 yang berperanan sebagai rangka panduan untuk penglibatan berterusan Malaysia dengan negara-negara lain, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Mengenai pelan strategik itu, Mohamad berkata rancangan itu menterjemahkan dasar dan keutamaan negara ke dalam satu program kerja yang jelas untuk kementerian.

“Pelan itu mengukuhkan komitmen kita untuk memajukan keutamaan ekonomi Malaysia, memperkukuh kerjasama dwitara, serta mengekalkan penglibatan dalam forum pelbagai hala,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan