AM > BERITA

Legasi Bukit Kepong Wajib Diinstitusikan Dalam Budaya Kerja PDRM - KPN

23/02/2026 10:15 PM

MUAR, 23 Feb (Bernama) -- Legasi Bukit Kepong wajib diinstitusikan dalam budaya kerja, disiplin, ketelusan membuat keputusan serta kecekapan mengurus ancaman keselamatan yang kian kompleks, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata peristiwa Bukit Kepong bukan sekadar sejarah silam, tetapi kompas moral yang terus membimbing kepimpinan moden kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan semangat setia kepada negara serta keberanian menghadapi ancaman.

“Jika dahulu ancaman keselamatan lebih bersifat fizikal dan bersenjata tetapi kini berkembang jauh lebih kompleks dan merentasi sempadan, perkembangan teknologi dan globalisasi membuka ruang kepada jenayah siber, ekstremisme.

“Penyebaran ideologi radikal melalui medium digital serta jaringan jenayah terancang yang beroperasi secara tersembunyi dan berstruktur, sekali gus menjadikan landskap keselamatan negara semakin dinamik dan multidimensi menuntut keupayaan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tangkas berpaksikan strategi yang holistik,” katanya.

Mohd Khalid berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad.

Sementara itu, beliau berkata keamanan negara menuntut sinergi dan kebersamaan antara PDRM, komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan media.

“Masyarakat tidak hanya menerima perkhidmatan semata-mata tetapi mereka juga adalah rakan strategik kepada membina ekosistem yang mampan,” katanya.

Peristiwa Bukit Kepong ialah kejadian serangan komunis terhadap sebuah balai polis semasa keadaan darurat selepas Perang Dunia Kedua pada 5.30 pagi 23 Feb 1950 hingga mengakibatkan 19 anggota polis terkorban.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan