AM > BERITA

KESUMA Pergiat Libat Urus Menjelang Penguatkuasaan Akta 872 Mac Ini - Ramanan

24/02/2026 11:50 AM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus mempergiat sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor pekerja gig negara menjelang penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] yang dijangka pada penghujung Mac ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata perjalanan menggubal satu akta baharu bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan penelitian, keseimbangan dan perbincangan mendalam agar kepentingan pekerja dilindungi tanpa menjejaskan kelangsungan industri.

Merujuk kepada sesi libat urus dengan beberapa pihak berkepentingan utama dalam sektor pekerja gig negara yang berlangsung semalam, Ramanan berkata ruang dibuka luas kepada setiap wakil untuk menyuarakan pandangan, membangkitkan pertanyaan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan. 

“Kita berbincang sambil menyelami isu perlindungan sosial, caruman keselamatan, mekanisme penyelesaian pertikaian, struktur pendapatan yang adil serta peranan penyedia platform dalam memastikan keseimbangan tanggungjawab bersama.

“Saya juga akan bawa setiap isu perbincangan ini ke sesi libat urus seterusnya bersama-sama pihak berkepentingan lain termasuk penyedia platform,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Turut hadir dalam sesi libat urus itu ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, selain Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia dan Gabungan eHailing Malaysia.

Kata Ramanan, dasar yang baik lahir daripada kefahaman mendalam terhadap realiti di lapangan dan mendengar sendiri suara pekerja gig memberikan perspektif yang tidak mungkin diperoleh hanya melalui laporan dan statistik.

“Yang jelas ialah pekerja gig hari ini bukan lagi sektor kecil atau sementara. Mereka ialah sebahagian penting daripada nadi ekonomi negara. Ramai dalam kalangan mereka menjadi penyumbang utama pendapatan keluarga, malah ada yang menjadikan kerjaya gig sebagai pilihan jangka panjang. 

“Oleh itu, pendekatan dasar tidak boleh bersifat separuh jalan, tetapi kerangka ini mesti komprehensif, realistik dan berpaksikan kesejahteraan pekerja,” katanya.

Beliau berkata tiada dasar dirangka secara tertutup kerana setiap keputusan melalui proses konsultasi menyeluruh dan beliau bersama dengan pengurusan tertinggi KESUMA akan meneliti setiap pandangan secara serius demi memastikan pembinaan satu kerangka perlindungan yang mampan, progresif dan seimbang untuk pekerja serta industri, bukan sekadar meluluskan satu akta.

Dewan Negara pada 9 Sept 2025 meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, melakar sejarah baharu dalam melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia dan meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan itu.

Akta 872 diwartakan pada 31 Dis 2025 selepas mendapat Perkenan Diraja pada 16 Dis 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan