AM > BERITA

Pengeluaran Susu Segar Meningkat, KPKM Sasar SSR 100 Peratus Menjelang 2028

24/02/2026 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan 100 peratus kadar sara diri (SSR) pengeluaran susu segar menjelang 2028 menerusi pelaksanaan pelbagai program bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antaranya Program Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 yang berjaya mencapai sasaran pengeluaran sebanyak 20 juta liter dalam tempoh lima tahun sekali gus menunjukkan impak dan keberkesanan program yang telah dilaksana.

Beliau berkata sejajar dengan peningkatan pengeluaran susu tempatan, peratusan SSR pengeluaran susu segar turut menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2023.

“Peningkatan SSR pengeluaran susu segar dapat dilihat daripada 56.7 peratus pada tahun 2021; 57.3 peratus pada tahun 2022 dan 66.8 peratus pada tahun 2023.

“Namun begitu, berlaku penurunan 0.1 peratus SSR daripada 66.8 peratus kepada 66.7 peratus pada tahun 2024 disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya penurunan penyertaan dalam kalangan penternak kecil,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai pencapaian keberkesanan pelaksanaan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025.

Beliau berkata KPKM turut melaksanakan Projek Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan peruntukan RM30 juta untuk meningkatkan populasi induk ternakan dan menyediakan peralatan moden bagi mencapai sasaran SSR 100 peratus menjelang 2028.

Bagi mengekang kesan peningkatan kos makanan ternakan terhadap harga bekalan susu segar, Mohamad berkata KPKM telah melaksanakan beberapa langkah intervensi.

Antaranya membangunkan 136,527 hektar kawasan penanaman bagi menghasilkan sebanyak 1.25 juta tan metrik bahan makanan ternakan setahun, pembangunan varieti jagung berpotensi tinggi serta kajian penggunaan bahan tempatan lain seperti hampas sawit, hampas soya dan daun moringa sebagai alternatif makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan import.

Selain itu, Mohamad berkata kerajaan akan menggerakkan kempen mempromosi susu segar tempatan mulai tahun ini bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang manfaat susu segar selain menggalakkan pengambilan susu asli tanpa gula tambahan sekali gus meningkatkan penggunaan susu segar di peringkat domestik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan