AM > BERITA

Kerajaan Diminta Kaji Isu Geran Dan Premium Tanah

24/02/2026 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Dua senator Sarawak hari ini memohon kerajaan agar memberi perhatian sewajarnya terhadap isu pemilikan geran tanah dan kadar bayaran pembaharuan premium tanah yang tinggi bagi melindungi penduduk luar bandar yang terkesan.

Senator Abun Sui Anyit berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mempertimbang kelonggaran syarat pemilikan geran tanah bagi pelaksanaan program pembangunan dan perumahan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.

Beliau menegaskan meskipun kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif perumahan yang murni untuk golongan miskin dan generasi muda, syarat ketat yang mewajibkan pemilikan geran tanah untuk membina rumah telah menjadi penghalang utama buat penduduk di kawasan luar bandar yang kebanyakannya masih belum memiliki dokumen tersebut.

Beliau berkata banyak penduduk di pedalaman berjaya dalam permohonan awal bagi projek infrastruktur seperti pembinaan jalan akses ke rumah panjang, sistem perparitan dan tapak rumah, namun projek tersebut sering terhenti di peringkat pelaksanaan apabila pihak kerajaan menuntut geran tanah sebagai syarat wajib.

"Kami di pedalaman memang tidak ada geran tanah. Justeru, saya mohon pertimbangan kementerian terlibat agar mempermudah syarat ini. Jangan sampai program perumahan yang disediakan tidak dapat dinikmati oleh kami di pedalaman hanya kerana isu teknikal geran," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Senator Roderick Wong Siew Lead mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung kadar bayaran pembaharuan premium tanah bagi memastikan garis panduan klasifikasi yang ditetapkan adalah jelas dan telus.

Beliau berkata ini penting bagi melindungi golongan petani dan pemilik tanah warisan di luar bandar kerana sebelum ini, timbul isu kenaikan mendadak bayaran pembaharuan premium tanah di sebuah kawasan luar bandar di Sarikei, Sarawak.

“Sebelum kadar dinaikkan atau kategori ditukar mesti ada sesi penerangan dan perundingan. Ini akan mengurangkan kejutan dan rasa tidak puas hati.

“Perkenalkan juga mekanisme semakan bebas. Apabila berlaku pertikaian klasifikasi atau kadar bayaran, rakyat perlu ada saluran rayuan yang mudah, cepat, dan tidak membebankan, selain terdapat keperluan melaksanakan kadar baharu secara berperingkat,” katanya.

Selain tanah, isu berkaitan menangani rasuah dengan cara meningkatkan elaun penjawat awam dan  memperkukuh integriti agensi penguatkuasaan turut dibahaskan. 

Senator Datuk Salehuddin Saidin, antaranya mencadangkan kerajaan menyemak semula struktur gaji dan pemberian elaun khas kepada penjawat awam, khususnya kepada kumpulan yang bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta mereka yang berurusan secara langsung dengan masyarakat.

"Kita perlu memikirkan satu langkah untuk merombak semula gaji atau sekurang-kurangnya memberikan elaun saraan hidup yang lebih tinggi kepada penjawat awam di jabatan kritikal supaya mereka tidak merasa terdesak hingga terjebak dengan gejala rasuah demi kelangsungan hidup," katanya.

Mengambil contoh negara jiran, Singapura, Salehuddin menjelaskan bahawa pemberian gaji dan elaun yang tinggi kepada pegawai penguat kuasa terbukti berjaya mengurangkan elemen rasuah secara signifikan di negara tersebut.

Senator Datuk Dr Mustafa Musa pula menyarankan agar Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 dipinda bagi membolehkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) turut mengawal selia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Selain itu, kita perlu melihat keperluan program silang dilakukan antara semua agensi seliaan EAIC agar penjawat awam ditempatkan di EAIC bekerja dengan lebih cekap. Ingatlah, kehancuran sebuah empayar bukan hanya kerana kelemahan politik tamak haloba malah turut disebabkan nilai integriti yang digadaikan,” katanya. 

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan