AM > BERITA

Kerajaan Tidak Benarkan Jalan Raya Atas Tanah Kerajaan Dijual Kepada Swasta

25/02/2026 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan tidak membenarkan jalan raya awam yang dibina di atas tanah milik kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta khususnya jalan utama kerana ia adalah aset strategik negara serta kemudahan untuk rakyat.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata penglibatan pihak swasta adalah terhad kepada pengurusan atau penyelenggaraan jalan melalui perjanjian konsesi tanpa menjejaskan pemilikan kerajaan ke atas tanah atau status jalan tersebut sebagai jalan awam.

Bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara dan akses awam tidak disekat sewenang-wenangnya, sebarang penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan adalah tertakluk kepada pewartaan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) atau di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828).

"Proses ini melibatkan penelitian oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan, kelulusan pihak berkuasa negeri serta keperluan penyediaan laluan alternatif yang setara atau lebih baik sekiranya melibatkan akses awam," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) yang ingin tahu sama ada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membenarkan jalan raya yang dibina atas tanah milik kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta.

Mengenai mekanisme dalam mempertimbangkan sebarang perubahan laluan jalan awam yang melibatkan tanah kerajaan, Syed Ibrahim berkata perkara itu tertakluk kepada kuasa dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Beliau menjelaskan ia khususnya berkaitan pengurusan, pewartaan dan pelupusan tanah kerajaan termasuk tanah yang diperuntukkan sebagai simpanan jalan di bawah Akta 828.

"Dalam mempertimbangkan perubahan tersebut, kerajaan mengguna pakai mekanisme penilaian yang berlapis merangkumi semakan status tanah di bawah Akta 828 termasuk pengesahan sama ada laluan berkenaan merupakan tanah kerajaan atau simpanan jalan.

"Selain itu, penilaian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan berhubung keselamatan, kapasiti dan kebolehcapaian jalan serta pengenaan syarat kelulusan oleh pihak berkuasa negeri mewajibkan penyediaan laluan alternatif yang setara atau lebih baik sebelum sebarang perubahan laluan dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan