AM > BERITA

Kaji Tindakan Ke Atas Individu Berceramah Politik Di Masjid, Surau Di Perak - MB Saarani

25/02/2026 05:41 PM

IPOH, 25 Feb (Bernama) -- Kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti tindakan yang sesuai ke atas wakil rakyat atau pemimpin politik yang menyampaikan ceramah di masjid atau surau yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Jadi, kalau difikirkan hendak ambil tindakan kepada orang yang berkenaan itu, kita kena kaji. Kena ada undang-undang yang membolehkan kita mengambil tindakan kepada orang yang dengan sengaja melanggar titah (Sultan Perak Sultan Nazrin Shah)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan serta Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak tahun 2026 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata Garis Panduan Penganjuran dan Syarahan Agama Islam Negeri Perak sedia ada hanya meletakkan beban kesalahan berkenaan ke atas jawatankuasa kariah masjid serta surau.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib yang didakwa memberi tazkirah di Masjid Qariah Kampung Air Mati, Bota di Parit, baru-baru ini.

Terdahulu, Muhammad Ismi menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya memaklumkan beliau menunaikan solat Tarawih berjemaah di masjid berkenaan selain beramah mesra dan bertanya khabar serta mendengar pandangan dan keperluan komuniti setempat bersama jemaah masjid tersebut.

Semua wakil rakyat tidak dibenarkan memberi ucapan di masjid dan surau di negeri Perak walaupun memiliki tauliah mengajar daripada JAIPk.

Perkara itu selaras dengan pekeliling dikeluarkan JAIPk mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang tidak membenarkan ahli politik berucap atau menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan