KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan bercadang menubuhkan Education Malaysia (EM) di Arab Saudi bagi menyelaras kerjasama pendidikan termasuk program akademik, biasiswa serta kebajikan pelajar kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dinyatakan semasa beliau menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R Al-Ahmadi pagi tadi.
"Pihak Saudi turut mengalu-alukan cadangan Malaysia ini dan saya akan menghantar nota verbal (lisan) kepada pihak kerajaan Arab Saudi nanti," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Zambry berkata EM berfungsi sebagai pusat penyelarasan program pendidikan dua hala merangkumi aspek penghantaran pelajar, pelaksanaan biasiswa dan program pendidikan lain antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ini kerana, kita juga mempunyai ribuan pelajar Saudi yang belajar di negara kita dan begitu juga ribuan pelajar kita yang sedang belajar di Saudi.
“Jadi, hal-hal yang menyentuh tentang kebajikan, tentang perkara-perkara yang perlu kita tangani sekiranya ada isu-isu berbangkit dengan pendidikan, maka EM inilah akan membantu,” katanya.
Beliau berkata EM akan diletakkan di bawah kelolaan kedutaan Malaysia di negara berkenaan bagi memudahkan pengurusan dan komunikasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial