AM > BERITA

Imigresen Tumpaskan Sindiket Visa Palsu, Pasangan Warga Bangladesh Dipenjara 45 Bulan

25/02/2026 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) menumpaskan sindiket pemalsuan visa antarabangsa dikenali sebagai “David Lawrence” dalam serbuan di sebuah kediaman di Sungai Besi di sini pada 10 Feb lepas.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Marina Habibon berkata sindiket yang didalangi pasangan suami isteri warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu, dipercayai aktif sejak lapan bulan lepas dengan menawarkan visa palsu ke negara-negara Eropah pada kadar mencecah RM20,000 bagi setiap dokumen.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh, dengan dokumen dihantar ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier antarabangsa sebelum dipalsukan dan digunakan untuk perjalanan ke Eropah.

“Dalam serbuan itu, pihak kami merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen yang disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba serta peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Marina berkata dua individu terbabit didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin lepas dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan sebelum dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM112,000.

Bagaimanapun, selepas gagal membayar denda, kedua-duanya diperintahkan menjalani hukuman penjara 45 bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal serta disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya.

Beliau berkata tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan