KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Tarique Rahman atas kemenangan partinya dalam pilihan raya umum negara itu, menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu kejayaan demokrasi.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini berkata rakyat Bangladesh telah melaksanakan mandat yang jelas menerusi peti undi walaupun menghadapi cabaran yang luar biasa.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada sahabat saya, Dr Muhammad Yunus, atas kepimpinan beliau sebagai Ketua Penasihat semasa peralihan penting ini dan kerana memastikan proses demokrasi berjalan lancar," kata beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia kekal komited untuk meningkatkan kerjasama dengan pentadbiran baharu Bangladesh.
"Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan kepimpinan baharu Bangladesh untuk membawa tenaga baharu kepada hubungan dua hala kita. Saya dan rakyat Malaysia menghulurkan salam mesra kepada rakyat Bangladesh," kata Anwar.
Terdahulu, media asing melaporkan lebih 127.6 juta rakyat Bangladesh layak mengundi dalam pilihan raya itu, yang turut merangkumi referendum mengenai pembaharuan perlembagaan.
Pilihan raya parlimen Bangladesh ke-13 itu dilihat sebagai peristiwa politik penting bagi negara yang mempunyai 175 juta penduduk itu berikutan protes besar-besaran pada Ogos 2024 yang membawa kepada penyingkiran bekas perdana menteri Sheikh Hasina.
Tarique, 60, ialah anak kepada bekas perdana menteri Khaleda Zia dan bekas presiden Ziaur Rahman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial