AM > BERITA

RUU Kualiti Alam Sekeliling 2026 Diluluskan, Perkukuh Hak Sabah Dan Sarawak Di Bawah MA63

28/02/2026 12:04 PM

KOTA KINABALU, 28 Feb (Bernama) -- Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat menjadi indikator jelas kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata melalui RUU itu, kuasa pengurusan dan kawal selia buangan terjadual di darat serta dalam perairan negeri diberikan kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63), perkara berkenaan telah melalui proses rundingan terperinci, penelitian perundangan serta penyelarasan dasar sebelum diterjemahkan dalam bentuk pindaan undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata agenda pemerkasaan MA63 ialah proses berterusan dan pindaan RUU itu adalah antara kisah kejayaan dalam memperkasa hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah pimpinan Kerajaan MADANI.

Katanya perkara itu antara 29 tuntutan MA63 yang diteliti melalui pelbagai platform rundingan termasuk MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat meluluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dengan sokongan majoriti.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan