KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pelantikan ahli pertama Mahkamah Timbang Tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) menandakan langkah penting dalam agenda pembaharuan di bawah Perjanjian Tambahan antara Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelantikan itu mengukuhkan kedudukan AIAC di peringkat global serta meningkatkan kredibiliti dan kecekapan sebagai pusat utama penyelesaian pertikaian alternatif (ADR).
“Tahniah kepada semua ahli. Komitmen anda terhadap ketaksamaan, kebebasan, integriti dan keadilan adalah asas penting untuk membina kepercayaan dan keyakinan dalam ADR,” katanya dalam catatan di X hari ini.
Azalina berkata kerajaan Malaysia kekal teguh menyokong inisiatif ADR serta menjadikan negara sebagai tempat yang selamat, neutral dan pilihan utama untuk timbang tara dan penyelesaian pertikaian.
Sebelum ini, AIAC dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa penubuhan mahkamah tersebut susulan pemeterianPerjanjian Tambahan Kedua kepada Perjanjian Tuan Rumah HCA) pada 24 Dis 2025 antara Kerajaan Malaysia dan AALCO.
AIAC menjelaskan bahawa Mahkamah Timbang Tara AIAC diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan ADR yang neutral, bebas dan efisien.
“Mahkamah AIAC terdiri daripada panel ahli yang pelbagai dengan pengalaman luas dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta domestik dalam bidang ADR. Ahli-ahli Mahkamah akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan AIAC dan meningkatkan keberkesanan keseluruhan Mahkamah AIAC,” menurut kenyataan itu.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, yang juga bekas pengarah AIAC, dilantik sebagai Presiden Mahkamah AIAC.
Mahkamah yang mempunyai 25 anggota itu termasuk Tan Sri Abdul Rahman Sebli (Malaysia), Álvaro López de Argumedo (Sepanyol), Aníbal Martín Sabater (Amerika Syarikat), Bronwyn Lincoln (Australia), Dr Christopher To (Hong Kong SAR), Tan Sri David Wong Dak Wah (Malaysia), Profesor Emilia Onyema (United Kingdom), Datuk Lee Heng Cheong (Malaysia), Hiroyuki Tezuka (Jepun) dan Kamiliah Kasim (Malaysia).
Penubuhan mahkamah ini selari dengan penguatkuasaan Akta Timbang Tara (Pindaan) 2024, Akta dan Peraturan Pindaan Penyelesaian dan Pembayaran Industri Pembinaan 2024-2025 serta Peraturan AIAC 2026 yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial