AM > BERITA

1,500 Asnaf, Fakir Di Labuan Terima Sumbangan Nur Ramadan

28/02/2026 10:01 PM

LABUAN, 28 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1,500 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan fakir menerima sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang menerusi Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026 yang berlangsung di Masjid Jamek Layang-Layangan hari ini.

Program anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu bertujuan mengimarahkan Ramadan, di samping menyantuni golongan memerlukan di pulau bebas cukai itu.

Daripada jumlah keseluruhan penerima, 300 asnaf menerima sumbangan secara terus semasa majlis berlangsung, manakala bakinya akan disalurkan terus ke akaun masing-masing melalui peruntukan zakat di bawah MAIWP.

Sumbangan disampaikan Ketua Pengarah JWP Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Selain itu, sebanyak 130 anak-anak tahfiz turut menerima sumbangan wang tunai menerusi Peruntukan Khas Wilayah Persekutuan yang disalurkan oleh JWP.

JWP turut menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM5,000 kepada Masjid Jamek Layang-Layangan, Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding dan Maahad Tahfiz Addiin Wa Tharbiyatul Athfal bagi menyokong pelaksanaan program kerohanian serta kebajikan jemaah dan pelajar tahfiz.

Program berkenaan disusuli dengan majlis berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih serta tazkirah Ramadan.

Turut diadakan sesi penyampaian hadiah bagi Pertandingan Bercucul sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 yang telah berlangsung di peringkat kampung dari 22 hingga 27 Feb lepas sebagai usaha memelihara warisan budaya masyarakat setempat.

Pelaksanaan Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama agensi agama dan komuniti setempat, sekali gus mempraktikkan amalan bersedekah secara terus serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan