KUCHING, 28 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengesahkan satu lagi kematian akibat rabies membabitkan lelaki berusia 44 tahun di negeri ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 91 dengan 84 kematian sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017.
Mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar dan tinggal bersendirian di Kota Samarahan meninggal dunia pada Rabu di Hospital Umum Sarawak.
Menurut kenyataan JKN Sarawak hari ini, mangsa mula mengalami gejala sukar berjalan, hilang selera makan, sakit lutut kanan, badan lemah serta pening pada 15 Feb lepas sebelum dibawa ke Pusat Jantung Sarawak dan seterusnya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada hari sama.
“Pesakit dimasukkan ke wad perubatan dan keadaannya semakin merosot sebelum diberi bantuan pernafasan pada 22 Feb,” menurut kenyataan itu.
Siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah gigitan anjing atau kucing, namun gemar memberi makanan kepada anjing liar serta memelihara 15 ekor anjing di rumahnya.
“Seekor anjing peliharaannya dilaporkan mati awal Februari dan ditanam oleh jiran, manakala 14 ekor lagi diasingkan untuk pemantauan lanjut,” menurut jabatan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial