JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Kumpulan Sunway terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporatnya menerusi program Sinar Ramadan 2026 dengan menyantuni 61 warga emas dari Pusat Jagaan Impian Syimah dan Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, di sini semalam.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama strategik Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSJ), Selangor Youth Community (SAY) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) itu, mencerminkan sinergi kukuh antara sektor korporat dan pertubuhan dalam memperkasa komuniti setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri Gerard Soosay berkata secara keseluruhan sebanyak 41 warga emas dari Pusat Jagaan Impian Syimah dan 20 warga emas dari Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor bersama 14 penjaga diraikan menerusi program berbuka puasa.
Beliau berkata sukarelawan Sunway terdiri daripada petugas syarikat itu, meluangkan masa berinteraksi dan menyantuni mereka yang turut menerima sumbangan dalam majlis yang diadakan di Pusat Jagaan Impian Syimah itu.
Gerard berkata mereka turut dibantu secara peribadi oleh sukarelawan semasa pengagihan makanan yang disediakan Hotel Sunway Big Box termasuk yang terlantar sebagai tanda penghargaan.
"Pusat jagaan dan persatuan kebajikan ini turut menerima sumbangan barangan runcit bernilai RM1,500 sebulan dalam tempoh dua bulan bagi menyokong keperluan operasi mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis itu diadakan di Jalan Kemuncak, di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway Datin Paduka Sarena Cheah yang pada masa sama menyerahkan keperluan asas isi rumah dan menyertai pengisian utama program termasuk gimik mengacau bubur asyura, pemberian kek kurma tajaan Sunway City Iskandar Puteri dan menyampaikan duit raya oleh YRZSJ.
Sementara itu, Gerard berkata program di bawah payung #SunwayforGood itu telah dilaksanakan sejak 2014 dan sehingga kini, telah merekodkan lebih 100,000 penerima manfaat dengan kesinambungan program telah menjadi sebahagian daripada budaya dan nilai teras syarikat.
Beliau berkata inisiatif tahunan ini bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan aktif warga Sunway dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
"Kami mahu terus menyumbang dan melakukan kebaikan kerana ini merupakan moto kami dalam menyantuni masyarakat menerusi setiap inisiatif yang dilakukan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Impian Syimah Nor Hasyimah Hamzah menzahirkan penghargaan kepada Sunway dan semua atas bantuan yang diberikan sekali gus berharap langkah itu dapat membuka minda masyarakat agar cakna terhadap warga emas yang memerlukan perhatian.
"Boleh dikatakan jumlah kos bulanan yang perlu ditanggung kami adalah besar tetapi berkat niat kepada Allah dan bantuan ramai pihak, termasuk syarikat dan badan korporat, sangat membantu (pengoperasian) kami," katanya.
Beliau berkata pusat jagaan yang telah wujud sejak 2008 itu beroperasi di dua lokasi iaitu di Jalan Kemuncak dan Jalan Kemaman, di sini serta menempatkan warga emas yang tiada waris mahupun, terutamanya dalam kalangan gelandangan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial