AM > BERITA

Tabung Bantuan Perubatan Bantu Lebih 80,000 Pesakit - Dzulkefly

01/03/2026 08:26 PM

KOTA BHARU, 1 Mac (Bernama) -- Tabung Bantuan Perubatan (TBP) dengan jumlah keseluruhan melebihi RM788 juta telah membantu lebih 84,000 pesakit, sejak diperkenalkan pada 2005, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin terhadap beban kewangan pesakit, khususnya bagi rawatan jangka panjang dan TBP kekal sebagai instrumen sokongan kritikal kementerian demi memastikan tiada rakyat tercicir daripada akses rawatan hanya kerana kekangan kewangan.

"Pada tahun lepas, sebanyak 3,884 TBP telah diluluskan oleh kerajaan dengan jumlah RM58.6 juta.

"Kelantan pula menduduki tempat kelima tertinggi menerima TBP dengan 345 kes diluluskan berjumlah RM4.66 juta, dan daripada jumlah itu, Hospital Raja Perempuan Zainab II mencatatkan kelulusan tertinggi, iaitu 296 kes (RM3.13 juta)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan TBP dan bakul makanan kepada asnaf pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)-Majlis Iftar Perdana di Masjid Al Husna, Kampung Baung Bayam, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan berhubung ketidakpatuhan peniaga di bazar Ramadan, Dzulkefly berkata setakat ini terdapat 12 aduan berkaitan kebersihan makanan di seluruh negara termasuk empat aduan diterima melalui aplikasi WhatsApp.

"Sehingga semalam juga kita tidak menerima aduan berhubung keracunan makanan berlaku di bazar Ramadan seluruh negara dan tiada kompaun dikeluarkan kepada peniaga," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini penyakit tuberkulosis atau tibi, beliau berkata berlaku penurunan kes baharu pada Minggu Epidemiologi ketujuh (ME 7/2026), iaitu 417 kes direkodkan berbanding 482 kes pada tempoh sama tahun lepas dengan mencatatkan penurunan sebanyak 65 kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan