AM > BERITA

DOF Bangunkan Peta Rumput Laut Kebangsaan Perkukuh Pengurusan Habitat Pesisir

01/03/2026 03:03 PM

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) membangunkan Peta Rumput Laut Kebangsaan bagi memperkukuh pengurusan habitat rumput laut secara sistematik dan berasaskan sains.

Dalam kenyataan hari ini, DOF memaklumkan Peta Rumput Laut Kebangsaan yang pertama dibangunkan secara komprehensif di peringkat nasional sebagai asas data spatial bagi menyokong Pelan Tindakan Rumput Laut Kebangsaan (NPOA Seagrass).

“Peta tersebut menjadi rujukan teknikal dalam perancangan pembangunan pesisir termasuk penilaian kesesuaian tapak, pengurangan konflik guna ruang serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi melindungi habitat sensitif,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain menerusi kenyataan sama berkata pendekatan berasaskan sains ini memperkukuh keupayaan DOF dalam merancang langkah perlindungan habitat secara lebih tepat dan berimpak.

“Rumput laut merupakan komponen penting ekosistem pesisir yang menyokong kelangsungan sumber perikanan dan biodiversiti marin. 

“Penghasilan Peta Rumput Laut Kebangsaan ini menjadi asas penting dalam memperhalusi tindakan pengurusan dan memastikan habitat ini terus berfungsi secara lestari,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pengurusan dan mekanisme perlindungan akan diperhalusi selaras dengan mandat jabatan di bawah Akta Perikanan 1985.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan