AM > BERITA

Konflik Timur Tengah: Impian Tiga Sekawan Tunai Umrah Masih Samar

02/03/2026 06:28 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

SEPANG, 2 Mac (Bernama) -- Impian tiga sekawan dari Kudat, Sabah untuk menunaikan umrah masih menjadi tanda tanya apabila penerbangan mereka ke Jeddah yang sepatutnya berlepas pada 7 malam esok dibatalkan dan ditunda ke tarikh baharu yang belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kota Kinabalu pada 10 pagi tadi kekal optimis dan berharap akan menerima maklum balas positif daripada Malaysia Airlines berhubung status penerbangan MH159.

Ahmad Moktar Abdul Basir, 33, ketika ditemui Bernama berkata penerbangan mereka dijangka ditunda ke 4 Mac, namun sehingga kini tarikh baharu itu masih belum disahkan.

“Kami memilih untuk bermalam di hotel dahulu hari ini sambil menunggu jawapan daripada pihak agensi umrah dan syarikat penerbangan,” kata petugas masjid dan guru agama itu yang telah membelanjakan lebih RM8,000 untuk pakej umrahnya.

Ahmad Moktar berkata beliau dan 39 jemaah di bawah kendalian sebuah agensi umrah dijadualkan berada di tanah suci dari 3 hingga 14 Mac ini. 

Beliau yang mengikuti rapat perkembangan konflik Timur Tengah bagaimanapun memahami situasi luar jangka berkenaan dan berharap ia kembali normal tanpa sebarang isu.

Seorang lagi jemaah Tajudin Talib, 50, berkata beliau agak terkejut menerima mesej pembatalan penerbangan namun menganggap ia sebahagian daripada ujian Allah yang mahukan umatnya cekal dan tabah mendepani sebarang dugaan.

“Kami pun terkejut juga bila dah begitu kan (terima mesej). Mungkin ketentuan Allah tiba-tiba giliran kami pula (diuji) apabila konflik di Iran berlaku.

“Setakat ini, komunikasi dengan mutawif berjalan dengan baik. Pihak ejen juga sentiasa memberi maklum balas dan menjawab setiap pertanyaan kami. Cuma kami harap jika tidak dapat meneruskan penerbangan ke Jeddah, kos yang dibayar untuk umrah dapat dikembalikan,” katanya yang bertugas sebagai pembantu pegawai di Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Kudat.

Memasuki hari ketiga konflik di Timur Tengah menyaksikan ribuan penerbangan dibatalkan di seluruh dunia bagi mengutamakan keselamatan penumpang.

Setakat semalam, Malaysia Airports Holdings Bhd memaklumkan bahawa keadaan masih tidak menentu dan tertakluk kepada penilaian keselamatan ruang udara serta syarikat penerbangan, dengan kemungkinan berlaku pelarasan jadual penerbangan. 

Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan siri serangan terhadap sasaran di Iran, termasuk Tehran pada Sabtu.

Iran kemudian melakukan serangan balas ke wilayah Israel serta kemudahan tentera AS di beberapa negara di Timur Tengah.

Ribuan penerbangan di Timur Tengah telah dibatalkan manakala ruang udara di rantau itu turut ditutup.

Syarikat penerbangan utama termasuk Malaysia Airlines, Qatar Airways, Saudia dan beberapa syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi telah menangguhkan atau membatalkan beberapa penerbangan sejak Sabtu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan