EKONOMI > BERITA

GANGGUAN PENERBANGAN GLOBAL MASUK HARI KETIGA SELEPAS LAPANGAN TERBANG DAN UDARA DITUTUP

02/03/2026 10:18 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) – Perang di Timur Tengah sudah memasuki hari ketiga, penerbangan global khususnya komersil yang merentasi rantau tersebut masih terhenti selepas lapangan terbang utama ditutup dan ruang udara serantau dihadkan, mengakibatkan 2,000 penerbangan terbatal.

Serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada Sabtu lepas, diikuti dengan tindakan balas Teheran ke atas beberapa negara serantau juga telah menjejaskan syarikat penerbangan di Malaysia memandangkan masih banyak yang menggantung penerbangan mereka ke lapangan terbang utama di rantau tersebut.

Penerbangan masuk dan keluar tujuh lapangan terbang utama di kawasan Teluk iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain serta Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum telah dibatalkan.

Menurut FlightRadar24, Israel, Iran, Syria, Qatar, Bahrain dan Kuwait telah menutup ruang udara mereka sejak 28 Feb, manakala Lubnan serta Jordan dibuka tetapi dengan aktiviti penerbangan yang amat terhad; Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dibuka secara teknikal tetapi tiada aktiviti penerbangan disebabkan sekatan; Afghanistan masih dibuka tetapi memberi amaran selepas Pakistan melancarkan serangan udara baru-baru dan Pakistan turut dibuka, tetapi disertai dengan amaran.

Di Abu Dhabi, penutupan ruang udara serantau terus memberi impak kepada operasi Etihad Airways dan semua penerbangan masuk serta keluar Abu Dhabi digantung sehingga 14:00 waktu UAE pada 3 Mac.

Bagaimanapun, FlightRadar24 ada menunjukkan penerbangan penumpang pertama yang baru berlepas dari Abu Dhabi.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad memberitahu operasi penerbangan di lapangan terbang itu kekal digantung buat sementara waktu dan akan disambung semula sebaik sahaja Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar mengumumkan pembukaan semula ruang udara Qatar dengan selamat.

"Penumpang dinasihatkan supaya tidak pergi ke lapangan terbang," katanya melalui siaran X hari ini. 

Notis kepada Misi Udara (NOTAM) telah dikeluarkan bahawa ruang udara Jordan akan ditutup setiap hari antara 1500 dan 0600 UTC sehingga 5 Mac. Penutupan ruang udara ini berkuat kuasa mulai hari ini pada UTC 1500 (1800, waktu tempatan di Jordan).

FlightRadar24 berkata NOTAM menutup ruang udara di rantau itu telah dilanjutkan beberapa kali dan setakat hari ini, notis penutupan Arab Saudi tamat pada 3 Mac, manakala Iraq, Qatar, Bahrain, Kuwait, Syria dan UAE tamat tempoh hari ini.

Bagaimanapun, ruang udara Oman kekal dibuka buat masa ini dan semua lapangan terbang lain di Oman terus beroperasi.

Bagi syarikat penerbangan, Emirates telah menggantung sementara semua operasi masuk dan keluar dari Dubai sehingga jam1500 waktu UAE pada 3 Mac disebabkan beberapa penutupan ruang udara serantau.

Menurut Emirates melalui siaran X hari ini, situasi itu kekal dinamik dan akan dinilai secara berterusan.

Syarikat penerbangan itu menggesa penumpang menyemak operasi terkininya di http://emirates.com dan e-mel mereka untuk sebarang pemberitahuan tentang perubahan atau pembatalan penerbangan mereka sebelum bergerak ke lapangan terbang.

Saudia juga telah membatalkan penerbangan masuk dan keluar Kuwait, Abu Dhabi, Doha, Moscow serta Bahrain sehingga hari ini. 

Oman Air juga telah membatalkan penerbangan ke Dubai, Bahrain dan Kuwait.

Turkish Airlines membatalkan semua penerbangan masuk dan keluar Arab Saudi, Iraq, Iran, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, UAE serta Syria.

Di tanah air, Malaysia Airlines telah melanjutkan penggantungan semua penerbangan masuk dan keluar Doha (DOH), Jeddah (JED) serta Madinah (MED) sehingga 4 Mac, berikutan pembatalan yang dilaksanakan dari 28 Feb hingga 1 Mac.

Batik Air turut membatalkan perkhidmatan berjadual hari ini antara Kuala Lumpur dan Dubai, manakala penerbangan yang dikendalikan oleh Thai AirAsia X masuk dan keluar Riyadh di Arab Saudi juga telah dibatalkan.

Begitu juga, Air India dan Garuda Indonesia turut menggantung semua penerbangan masuk dan keluar rantau Teluk. 

Selain itu, syarikat penerbangan Eropah seperti British Airways, KLM, Lufthansa, Swiss International Air Lines, Eurowings, Austrian Airlines, ITA Airways dan Brussels Airlines telah menggantung penerbangan sehingga 8 Mac.

Penganalisis dan perunding bebas, Sobie Aviation yang berpangkalan di Singapura, Brendan Sobie memberitahu Bernama bahawa konflik semasa jelas memberi kesan secara global tetapi syarikat penerbangan Timur Tengah yang paling teruk terjejas.

"Kedua-dua faktor hasil dan muatan berkemungkinan akan meningkat pada syarikat penerbangan Asia yang terbang ke laluan Eropah semasa krisis ini, lebih daripada sekadar mengimbangi kos yang lebih tinggi," katanya. 

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perkembangan ini amat tidak baik untuk industri penerbangan global.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan