AM > BERITA

Anak Syarikat KKDW Perlu Perkemas Tadbir Urus, Pacu Agenda Pembangunan Desa

02/03/2026 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Semua anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diarah untuk memperkemas tadbir urus bagi memastikan setiap entiti bergerak seiring dengan agenda pembangunan desa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hala tuju kementerian tidak boleh bergerak secara silo dan mesti diselaraskan dengan jelas, profesional dan berasaskan strategi yang sama.

Perkara itu ditegaskan beliau dalam pertemuan khas bersama ketua-ketua pegawai eksekutif anak syarikat di bawah KKDW yang berlangsung di Parlimen, hari ini.

“Saya gunakan ruang ini untuk berbincang mengenai pelan tindakan ke hadapan, keperluan membina sinergi yang lebih kukuh serta memperkemas tadbir urus agar setiap entiti bergerak seiring dengan agenda pembangunan desa yang kita pikul bersama.

“Saya juga menitipkan beberapa panduan kepada semua ketua pegawai eksekutif bahawa kepercayaan datang bersama tanggungjawab dan prestasi mesti diterjemahkan dalam bentuk hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahmad Zahid juga yakin pengurusan yang profesional dan kesatuan haluan mampu memperkukuh peranan anak-anak syarikat KKDW sebagai pemangkin ekonomi desa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan