AM > BERITA

Pindaan Had Tempoh 10 Tahun Jawatan PM Tidak Peroleh Majoriti Dua Pertiga

02/03/2026 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

“Oleh demikian, keputusannya ialah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya sebelum menangguhkan mesyuarat yang dijadualkan bersambung esok.

Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua antara lain berkata penetapan had tempoh jawatan boleh dilihat sebagai usaha mencegah kemungkaran dengan mengurangkan risiko penumpuan kuasa terlalu lama serta kemungkinan berlakunya rasuah atau salah guna amanah.

Rang undang-undang itu kemudian dibahas 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pindaan berkenaan adalah satu pembaharuan institusi bersifat progresif.

“Ini tanpa mengubah struktur asas Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan serta tidak menjejaskan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri berdasarkan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat," katanya.

Ketika sesi itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangkit mencelah berhubung keperluan mendapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja bagi pindaan berkenaan kerana berpendapat ia menyentuh keistimewaan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Azalina berkata pindaan terhadap Perkara 43 itu tidak termasuk dalam kategori yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja kerana ia tidak menyentuh kedaulatan, prerogatif atau kedudukan peribadi Raja-Raja Melayu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan