AM > BERITA

Masyarakat Perlu Persoal Ahli Parlimen Tidak Sokong RUU Had Tempoh Jawatan PM - Loke

02/03/2026 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan rasa amat dukacita apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata DAP berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda reformasi dengan kesemua 40 Ahli Parlimen parti itu hadir bagi menyokong RUU berkenaan.

“Untuk pindaan ini diluluskan, ia memerlukan sokongan dua pertiga atau 148 Ahli Parlimen hadir secara fizikal. Keputusan yang menyokong ialah 146 iaitu kurang dua undi untuk mencapai dua pertiga.

“Masyarakat sivil dan pengundi yang ingin melihat reformasi institusi dalam negara perlu mengecam dan mempersoalkan Ahli-Ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak menyokong pindaan ini termasuk blok pembangkang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan undi belah bahagian menyaksikan 146 ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menyifatkan keputusan sebahagian Ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU berkenaan sebagai pengkhianatan kepada usaha untuk mereformasi institusi.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata Wanita PKR menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan itu kerana RUU itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi bertujuan memastikan amalan demokrasi, tatakelola dan tadbir urus negara terus diperkukuh.

“Rakyat juga berhak mempersoal keputusan Ahli Parlimen yang tidak mendukung RUU ini sekali gus mencerminkan sikap tidak bersama dalam agenda reformasi negara.

“Mereka (Ahli Parlimen) wajar ditolak sepenuhnya dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata Wanita PKR terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agenda Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh tadbir urus negara demi manfaat seluruh rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan