AM > BERITA

KPM Perkukuh Pendigitalan Pendidikan Menerusi Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM

02/03/2026 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan negara menerusi program Jaulah Ramadan Komuniti KPM, sebuah inisiatif strategik memastikan murid mendapat akses kepada teknologi pembelajaran terkini.

Usaha itu dizahirkan menerusi sumbangan peralatan digital serta bantuan kebajikan bersasar bagi merapatkan jurang pendidikan, khususnya kalangan murid asnaf dan tahfiz. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan sumbangan tersebut pada majlis berbuka puasa program berkenaan yang dihadiri kira-kira 400 pelajar Sekolah Menengah (SM) Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara (YDN) Mohd Nasrul Khairi berkata yayasan itu berperanan sebagai pusat sehenti bagi menyelaraskan sumbangan daripada syarikat korporat dan agensi swasta kepada komuniti KPM.

"Tujuan penyelarasan ini bagi memastikan tiada pertindihan pemberian sumbangan kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia, sekali gus memastikan agihan bantuan lebih efisien dan menyeluruh," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi program hari ini selain aspek digitalisasi, YDN turut menyalurkan bantuan kewangan kepada 50 murid asnaf di sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, Yayasan Guru Tun Hussein Onn menyumbangkan papan pintar kepada sekolah berkenaan manakala Dewan Bahasa dan Pustaka menyumbang buku pelbagai genre bagi menyokong pembelajaran digital dan memupuk budaya membaca dalam kalangan warga sekolah.

Selain aktiviti kebajikan, KPM turut mengedarkan risalah mengenai  Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 kepada penduduk sekitar Bandar Tun Razak bagi memberi pendedahan mengenai perancangan strategik sistem pendidikan negara.

Sementara itu, Pemangku Pengetua SM Integrasi Sains Tahfiz MAIWP Roshidah Ismail melahirkan rasa syukur atas pemilihan sekolah tersebut dan menyifatkan sumbangan yang diterima sebagai pemangkin kecemerlangan murid.

"Pemberian papan pintar ini amat bertepatan bagi memperkukuh pendigitalan di sekolah, sekali gus memastikan kemenjadian murid selari dengan peredaran zaman untuk melahirkan generasi celik IT yang mampu bersaing.

"Alhamdulillah, prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kami menunjukkan peningkatan selama empat tahun berturut-turut. Walaupun kami sekolah tahfiz, penguasaan teknologi digital tetap menjadi keutamaan dalam strategi pembelajaran kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan