AM > BERITA

Laporan Siasatan Dakwaan Pemilikan Saham Azam Baki Siap Beberapa Hari Lagi - PM Anwar

03/03/2026 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan siap beberapa hari lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tindakan lanjut termasuk sekiranya terdapat rasional untuk siasatan itu dilanjutkan akan diputuskan berdasarkan laporan itu.

Justeru, beliau berkata cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berkenaan adalah terlalu awal.

“Tentang cadangan RCI bagi kita agak premature, terlalu awal kerana siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara akan siap minggu ini, dalam beberapa hari. Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan, rasional untuk melanjutkan dan dalam bidang apa yang perlu untuk diteliti.

“...biarlah kita ikut prosesnya. Pertama, mendapat dulu laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh kerana Peguam Negara memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh satu, dua hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan (siasatan), itu kita akan lanjutkan,” katanya.

Anwar menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin tahu tindakan khusus boleh dijangka daripada RCI dicadangkan bagi isu itu termasuk skop dan kaedah siasatan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa khas itu yang turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri menegaskan sebarang siasatan perlu dilakukan dengan telus serta berfakta dan bukan bersandarkan sangkaan buruk semata-mata.

“Tentang jenis dan bentuk siasatan, saya dah jelaskan biarlah ikut prosesnya terlebih dulu. Mengapa diberikan pandangan yang sangat keras terhadap satu pihak padahal kita diminta hanya ikut proses?.

“Biasanya dalam pertuduhan terhadap mana-mana penjawat awam, ikut dulu proses laporan daripada penjawat awam dan dalam konteks ini, kita perluaskan skop, bukan sahaja dari segi prosedur peraturan pentadbiran, tetapi diperluaskan skop, sebab itu Peguam Negara yang mempengerusikan,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata nilai rampasan aset hasil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti rasuah dan sindiket haram menunjukkan peningkatan mendadak kepada RM15.5 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Beliau berkata peningkatan itu merupakan lonjakan besar berbanding hanya RM37 juta pada 2018 dan RM1.2 bilion (2019), hasil kesungguhan agensi penguatkuasaan termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Ini menyebabkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kita meningkat. Langkah-langkah akan terus diambil, tetapi melalui perkongsian maklumat dan kerjasama rapi antara badan-badan penguatkuasaan,” katanya.

Anwar berkata dalam tempoh November 2025 hingga Februari 2026, antara kes berprofil tinggi melibatkan pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau menjawab soalan asal Ganabatirau mengenai jumlah keseluruhan wang dan aset yang berjaya diperoleh semula oleh SPRM sepanjang 2025 dalam kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dan statistik perbandingan sebelum dan selepas Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan