AM > BERITA

Perdana Menteri Santuni Kira-kira 400 Warga KPKT Pada Program Ihya’ Ramadan

03/03/2026 07:39 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni kira-kira 400 warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Program Ihya’ Ramadan di sini, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri di lobi KPKT pada 12.30 tengah hari itu disambut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta barisan pengurusan tertinggi KPKT dan warga kementerian. 

Nga dalam satu kenyataan hari ini berkata Perdana Menteri juga mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPKT dan diberi Taklimat K.H.A.S (Keutamaan Insan, Hasil Pantas, Anjakan Berimpak Tinggi, Sistematik).

K.H.A.S ialah pelaksanaan dasar kementerian yang mengutamakan keperluan rakyat, memacu penyampaian perkhidmatan yang pantas, melaksanakan perubahan struktur berimpak besar dan memastikan tadbir urus yang telus serta sistematik.

“K.H.A.S merupakan cara KPKT menterjemahkan roh Malaysia MADANI dalam tindakan harian, iaitu rakyat diutamakan, hasil disegerakan, impak diperbesar dan pelaksanaan diperkemas.

“Melalui kerangka ini, KPKT komited untuk melaksanakan reformasi yang akan memberikan manfaat langsung kepada rakyat," katanya.

Perdana Menteri bersama-sama pengurusan tertinggi dan warga KPKT juga mendengar tazkirah khas bertajuk "Ramadan Membina Perpaduan dan Kasih Sayang" yang disampaikan oleh Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Haris.

Menurut KPKT, tazkirah berkenaan menekankan ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah sebagai madrasah untuk menyemai benih kasih sayang serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

“KPKT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kesudian beliau meluangkan masa hadir untuk menyantuni 400 warga KPKT.

“Program yang berlangsung di KPKT ini merupakan antara inisiatif utama kementerian dalam mengimarahkan bulan Ramadan melalui program-program kerohanian yang dapat memperkukuh kefahaman serta penghayatan ibadah sepanjang bulan suci ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan