AM > BERITA

PM Anwar Dedah Cubaan Jatuhkan Kerajaan Guna Media, Institusi Antarabangsa Termasuk Zionis

03/03/2026 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.

Menurut laporan awal, beliau berkata syarikat, badan dan tokoh yang terlibat dalam gerakan berkenaan telah mengadakan enam perjumpaan sepanjang 2025, sama ada di dalam mahupun luar negara. 

“Dalam tempoh itu, strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui meja bulat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, dan seterusnya menggerakkan international push. Kemudian, maklumkan Bloomberg (media antarabangsa) bagi tindakan selanjutnya.

“Strategi mereka seterusnya ialah menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan, khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serta menggunakan kekuatan dan kontak dengan negara-negara luar dengan tujuan memberi naratif mempertikai kewibawaan negara dan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai status siasatan PDRM berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata selain gerakan melalui media antarabangsa bagi menerbitkan artikel yang mempertikai kerajaan dan pegawai bank untuk menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara, terdapat juga fakta bahawa kelompok itu menggunakan hubungan bersama Ahli Parlimen untuk mencipta naratif tertentu.

“Disebut di situ untuk memanfaatkan hubungan antara ahli Parlimen untuk menggugat, menetapkan dan mempengaruhi soalan-soalan yang akan dibangkitkan di Parliament tentang isu ini.

“Kemudian memuji, cari jalan menggunakan seluruh rangkaian media antarabangsa, khususnya Bloomberg untuk memuji tokoh tertentu yang sedang dalam siasatan, termasuk kes rasuah, serta mendesak supaya individu berkenaan diberikan penghormatan dan pujian,” katanya.

Anwar berkata cubaan untuk menjatuhkan kerajaan itu dipercayai didorong oleh beberapa siri siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Beliau seterusnya mendedahkan garis masa perancangan untuk menjatuhkan kerajaan dilaporkan bermula sejak Ogos 2024 dan dijangka berlarutan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ini bukan hanya kes spesifik, bukan sekadar isu mengkritik Perdana Menteri atau gerakan mempertahankan seorang tokoh, tetapi turut mempertikai seluruh sistem dalam negara dengan tujuan menjatuhkan kerajaan.

“Betul dia nak angkat kedudukan tokoh tersebut, tetapi berdasarkan laporan itu, yang dipersoalkan adalah keseluruhan sistem negara ini. Jadi, isu ini tidak terikat dengan mana-mana parti, sebaliknya melibatkan soal keselamatan negara,” katanya. 

Sehubungan itu, Anwar berkata perkara itu menuntut kearifan dan kewajaran semua pihak untuk bersama-sama memikir serta merenung kepentingan menyelamatkan negara, seperti mana kebersamaan ditunjukkan oleh ahli Parlimen termasuk pembangkang dalam mengecam serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, semalam. 

Perdana Menteri berkata laporan lanjut termasuk berhubung penglibatan kumpulan Zionis dalam gerakan berkenaan akan didedahkan selepas siasatan selesai sepenuhnya dan segala fakta dimuktamadkan.

Menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan memastikan PRU akan datang tidak dipengaruhi pihak tertentu, Anwar memberi jaminan bahawa pilihan raya akan dilaksanakan secara telus tanpa campur tangan asing.

“Saya yakin kerana saya mengenali ramai tokoh pembangkang yang mungkin tidak setuju dari segi parti dengan saya tetapi tidak akan bersekongkol (gerakan jatuhkan kerajaan),” katanya.

Beliau turut berharap agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat menyelaras satu pertemuan antara kerajaan dan wakil blok pembangkang bagi membincangkan isu tersebut secara lebih mendalam dan menyeluruh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan