AM > BERITA

MAKAF Jemput Atlet Karate Ranking Tinggi Sertai Latihan Bersama Skuad Negara

03/03/2026 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) akan menjemput beberapa atlet karate ranking tinggi dari Eropah dan Amerika Syarikat untuk menjalani latihan bersama skuad negara sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini.

Timbalan Presiden MAKAF Datuk Chen Chee Hong berkata pendekatan itu lebih efektif dan menjimatkan berbanding menghantar atlet berlatih ke luar negara, selain membuka peluang kepada lebih ramai atlet kebangsaan merasai latihan berintensiti tinggi di Bukit Jalil.

“Kami minta beberapa kem latihan berprestasi tinggi dibuat di Bukit Jalil dan ia telah mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Ia adalah cara paling murah, ekonomik dan berkesan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil di sini hari ini.

Chee Hong berkata program latihan itu akan dilaksanakan secara berfasa di bawah penyelarasan konsultan baharu pasukan Andris Vasiļevskis bersama barisan kejurulatihan lain.

Beliau berkata pemilihan atlet jemputan dibuat secara teliti dengan mengambil kira padanan kategori, berat badan, ketinggian, kepantasan dan kekuatan bagi memastikan keberkesanan latihan serta memenuhi keperluan skuad.

Menurut Chee Hong, kira-kira empat hingga enam atlet lelaki dan wanita dijangka dipanggil, bergantung kepada bajet sedia ada.

Skuad negara turut dijadualkan menyertai Kejohanan Senior Asia di Bali pada Julai serta saingan Series A di Sepanyol sebelum menjalani latihan tertutup pada Ogos dan awal September.

Pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, skuad karate negara meraih satu pingat emas dan dua perak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan