KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka terus bekerjasama dengan pemain profesional negara termasuk perseorangan lelaki Lee Zii Jia sebagai persiapan menghadapi kejohanan berpasukan serta Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata perbincangan telah diadakan dengan beberapa pemain profesional berhubung kemungkinan kerjasama, termasuk menyertai sesi latihan skuad kebangsaan dan menghadiri sesi pemilihan.
“Kita telah berbincang dengan Zii Jia dan semua pemain independent (bukan di bawah naungan BAM), bukan sahaja untuk Piala Thomas tetapi termasuk Sukan Olimpik.
“Mereka akan menyertai latihan dan mungkin mereka akan ada untuk pemilihan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Sebelum ini Zii Jia, perseorangan wanita Goh Jin Wei serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani telah memberi komitmen menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.
Dalam pada itu, Kenny berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan berkenaan program podium dan pelapis yang melibatkan 21 pemain senior dan 20 pemain junior.
Beliau berkata jurulatih sedia ada akan dipertanggungjawabkan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) khusus bagi setiap kejohanan sebagai sebahagian daripada persiapan menuju Sukan Asia.
“Fokus kami kini lebih kepada kejohanan tertentu. Jurulatih akan menetapkan KPI untuk pemain di setiap pertandingan dan sudah tentu perkara paling penting ialah mencapai sasaran di Sukan Asia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial