AM > BERITA

Projek PILA Mula Dilaksanakan Suku Pertama Tahun Ini

05/03/2026 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Projek pembangunan Penang International Logistics Aeropark (PILA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah dilaksanakan bermula suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata PILA adalah projek menaik taraf dan meningkatkan kapasiti terminal kargo baharu secara berfasa bertujuan menambah baik perkhidmatan sektor kargo udara.

“Fasa 1 menyasarkan pertambahan kapasiti pengendalian kargo daripada 0.16 juta tan metrik kepada 0.5 juta tan metrik setahun melalui pembangunan baharu terminal kargo, pembinaan taxiway dan dua parking apron,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding mengenai langkah proaktif kementerian untuk mempersiapkan infrastruktur penerbangan dan pelabuhan nasional negara ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik kargo udara dan maritim serantau.

Hasbi berkata selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran serantau menerusi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, Kementerian Pengangkutan turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi merangka strategi pemerkasaan industri itu.

Beliau berkata pelan reformasi berperingkat terhadap ekosistem kargo udara bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dirangka bagi menambah baik dasar, prosedur serta pendigitalan proses operasi.

"Usahasama ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan telah bermula sejak suku keempat 2025,” katanya.

Bagi sektor maritim, Hasbi berkata pihak berkuasa pelabuhan antaranya Suruhanjaya Pelabuhan Persekutuan memberikan komitmen untuk mencari ruang dan menyokong inisiatif pembesaran pelabuhan.

Katanya antara projek pembesaran sedang berlangsung dan dalam perancangan adalah pembangunan Fasa 1 New Deep Water Terminal oleh Lembaga Pelabuhan Kuantan pada 2018 manakala Fasa 2 masih dalam perancangan.

Beliau berkata Lembaga Pelabuhan Johor pula sedang merancang pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas Fasa 3 yang dijangka bermula tahun ini, dan pembangunan dermaga baharu bagi mencapai 16 juta TEU menjelang 2029.

Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan landasan pintas daripada jajaran utama kereta api merupakan langkah strategik bagi memastikan keterhubungan langsung antara pelabuhan dan hab industri utama.

“Antara projek berkaitan adalah landasan pintas yang menghubungkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan, serta pemanjangan landasan sisian di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan