AM > BERITA

MADA Bakal Bina Kilang Proses Padi Sendiri Sebagai Langkah Bantu Pesawah

06/03/2026 04:07 PM

ALOR SETAR, 6 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal membina kilang sendiri bagi memproses padi sebagai langkah untuk membantu golongan pesawah.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata inisiatif itu bertujuan memastikan pesawah di kawasan MADA mendapat keuntungan yang jauh lebih baik atas segala penat lelah mereka mengusahakan tanaman padi.

“Pihak yang teruk bekerja pesawah kita, tapi keuntungan yang diperoleh tidak seberapa. Pihak lain yang mengaut keuntungan berbilion daripada pesawah. 

“Kebanyakan pesawah semakin dihimpit dengan kenaikan kos pengeluaran termasuk harga baja, racun, benih serta masalah harga lantai padi yang rendah. Ini menyebabkan mereka berdepan masalah kewangan,” katanya ketika berucap pada majlis moreh bersama media di Ibu Pejabat MADA, di sini, malam tadi.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah yang sama berulang setiap musim, projek pembinaan kilang padi yang sudah mendapat kelulusan kerajaan itu dijangka beroperasi dalam tempoh antara empat hingga lima tahun lagi.

“Kilang berkenaan mampu memproses sehingga 50,000 tan padi setahun dan kapasiti itu bersamaan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi di kawasan MADA. Mungkin selepas itu kita boleh kuasai sehingga 30 peratus, tiada apa yang mustahil.

“Selagi tidak menguasai keseluruhan rantaian industri ini, masalah pesawah akan terus berpanjangan kerana sebahagian besar keuntungan jatuh kepada pihak lain. Kalau kita kuasai sepenuhnya, segala kekayaan (hasil) akan tumpah kepada pesawah itu sendiri,” katanya.

Dr Ismail berkata apabila kilang berkenaan siap sepenuhnya, padi yang dihasilkan pesawah akan dijual kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum dihantar ke kilang milik MADA itu untuk diproses.

“Langkah ini dapat memastikan rantaian industri padi daripada peringkat pengeluaran hingga pemprosesan dapat dikawal dengan baik dan itu penting kerana harga padi yang diterima pesawah berkait rapat dengan harga beras putih tempatan yang ditentukan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan