AM > BERITA

Agong Berkenan Pandu Sejauh 45 Kilometer, Tinjau Persekitaran Mersing

07/03/2026 10:36 PM

JOHOR BAHRU, 7 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan memandu sendiri sejauh lebih 45 kilometer menyusuri beberapa kawasan penempatan bagi meninjau keadaan persekitaran di daerah Mersing.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau keadaan di Jeti Tanjung Penyabong bagi melihat sendiri tahap kebersihan serta kemudahan di kawasan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah aspek kebersihan dan penyelenggaraan persekitaran perlu sentiasa diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seri Paduka Baginda bertitah Mersing antara destinasi pelancongan popular di Johor dan aspek kebersihan perlu dipelihara bagi memastikan persekitarannya kekal indah serta memberi keselesaan kepada penduduk dan pelancong.

Sultan Ibrahim turut bertitah mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata demi memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih serta terpelihara.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Agong turut berkenan menerima mengadap Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan di Istana Flinstones di Mersing hari ini. 

Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat mengenai perancangan terkini kementerian serta pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan khususnya dalam membantu rakyat.

Sementara itu pada sebelah petang, Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat menyantuni rakyat serta meninjau suasana perniagaan di Bazar Ramadan Taman Lautan Biru di Mersing.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan peribadi kepada setiap pemilik gerai di bazar berkenaan.

Keberangkatan Sultan Ibrahim menarik perhatian pengunjung bazar yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta mengabadikan foto kenangan bersama Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meninjau gerai makanan dan beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung yang hadir, termasuk kanak-kanak.

Hadir sama Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan