AM > BERITA

Sultan Sharafuddin Berkenan Saksi Upacara Kibar Bendera Di Dataran Selangor

08/03/2026 11:40 AM

SHAH ALAM, 8 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyaksikan upacara mengibarkan bendera negeri di Tiang Bendera Dataran Selangor, sebuah mercu tanda baharu yang menempatkan tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 120 meter. 

Ketibaan Sultan Sharafuddin disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. 

Sultan Sharafuddin turut bertitah memperkenankan Jalur Gemilang dikibarkan di tiang bendera berkenaan selama 10 hari semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun, sebagai simbol patriotisme dan jalinan perpaduan di peringkat kebangsaan antara Selangor dengan negeri lain dalam Malaysia.

Sultan Selangor bertitah ketika mengilhamkan pembinaannya, baginda menzahirkan harapan agar tiang bendera itu akan menjadi lambang perpaduan rakyat Selangor, sekali gus menyemarakkan rasa hormat kepada bendera dan semangat cintakan negeri. 

“Beta pilih tarikh 8 Mac 2026 sebagai tarikh perasmian tiang bendera ini adalah bersempena Hari Keputeraan Ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. 

“Almarhum adalah tokoh terpenting dalam membangunkan Shah Alam dan mengisytiharkannya sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978,” titah baginda. 

Upacara menaikkan bendera sebesar 15 meter x 30 meter dengan berat kira-kira 50 kilogram itu disempurnakan oleh 40 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia diketuai Bintara Muda PWP Samsul Hashim. 

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyaksikan penyerahan Sijil Pengiktirafan Tiang Bendera Tertinggi di Asia Tenggara daripada Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Ahmad Fadzli. 

Tiang bendera Dataran Selangor yang terletak di Kelab Shah Alam, Seksyen 13 itu mengatasi rekod dipegang tiang bendera Ibu Pertiwi di Kuching, Sarawak dengan ketinggian 99.4 meter yang sebelum ini turut menerima pengiktirafan MBOR pada 2024. 

Pembinaan tiang bendera itu merupakan cetusan ilham dan titah Sultan Sharafuddin pada 1 Dis 2023 yang menzahirkan hasrat agar sebuah tiang bendera yang tinggi dan ikonik dibina sebagai mercu tanda kebanggaan Negeri Selangor di Bandar Raya Shah Alam. 

Dataran Selangor yang menempatkan mercu tanda terbabit bermotifkan Bunga Tanjung Kelopak Sembilan sebagai simbol identiti Negeri Selangor yang mewakili sembilan daerah. 

Projek itu yang mula dibina pada 10 Sept 2024 berjaya disiapkan pada 7 Mac 2026, enam hari lebih awal daripada tarikh yang disasarkan, melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM8.5 juta. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan