KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pelantikan Presiden Timor-Leste yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan José Ramos-Horta sebagai Profesor Adjung Kehormat di Taylor’s University, menandakan satu peristiwa penting dalam komitmen institusi itu untuk menyepadukan kepimpinan dunia sebenar dan perspektif global ke dalam ekosistem akademiknya.
Presiden yang terkenal dengan perjuangan hidupnya demi keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia itu telah mengadakan sesi dialog akademik bersama pelajar program Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) (Kepujian) bertajuk A World Adrift – New World Order.
Ramos-Horta menekankan peranan penting pendidikan dalam membentuk pemimpin masa depan yang berupaya mengharungi cabaran global.
“Pendidikan merupakan satu daripada medium paling berkuasa kita miliki untuk membentuk dunia yang lebih adil, penyayang dan aman. Pada saat kritikal bagi kemanusiaan ini, memupuk pemikiran kritikal, kepimpinan beretika dan perpsektif global bukan sahaja perlu - ia amat mendesak,” katanya.
Menurut Taylor’s University, dialog berkenaan memberi pelajar peluang secara langsung untuk berinteraksi dengan seorang ketua negara dengan perbincangan tertumpu kepada dinamika ASEAN, peranan Timor-Leste di rantau ini, serta tanggungjawab lebih luas dalam kepimpinan global, iaitu satu pengalaman yang disifatkan sebagai transformatif.
Penuntut tahun dua Lee Yong Zi berkata sesi berkenaan telah mengubah persepsinya mengenai kepimpinan dan penglibatan di peringkat global.
“Seruan beliau (Presiden Ramos-Horta) untuk lebih ramai saintis, bukan ahli sains sosial mendorong saya melihat kepimpinan bukan sekadar diplomasi atau visi, tetapi sebagai usaha nyata menukar idea menjadi realiti yang boleh dinikmati masyarakat.
“Peluang berinteraksi dengan pemimpin sebenar melalui platform universiti terasa luar biasa - ia mengubah dialog berprofil tinggi menjadi perbualan peribadi dan menunjukkan bahawa Taylor’s University bukan sahaja mengajar penglibatan global, malah membolehkan kita mengalaminya secara langsung,” katanya.
Sementara itu, penuntut tahun satu Sri Krishna Anuj Saripalli berkata sesi dialog itu meningkatkan lagi pemahamannya tentang landskap politik ASEAN.
“Mendengar Presiden Ramos-Horta membicarakan perjuangan Timor-Leste untuk diiktiraf menekankan bagaimana negara-negara kecil mampu mempengaruhi perbincangan serantau, bukan melalui kuasa ekonomi atau tentera tetapi melalui kewibawaan moral dan kepimpinan berprinsip,” katanya.
Pengarah program Dr Deboshree Ghosh berkata pendekatan berkenaan memberi pendedahan yang amat bernilai melebihi pembelajaran secara teori kepada penuntut PPE.
“Beliau memberi peluang kepada penuntut untuk memahami bagaimana membina keamanan, etika diplomasi, dan pembuatan keputusan berfungsi dalam konteks sebenar. Pendedahan ini memberikan pembelajaran yang tidak dapat dicapai melalui buku teks semata-mata,” katanya.
Pelantikan itu turut menyaksikan pelancaran Biasiswa Presiden J Ramos-Horta, yang disediakan bagi membantu seorang pelajar Timor-Leste yang cemerlang dari segi akademik dan berdedikasi untuk memberi impak di peringkat global.
Taylor’s University memaklumkan inisiatiaf berkenaan mengukuhkan komitmennya terhadap pendidikan berkualiti tinggi dan mudah diakses, selari dengan falsafah antara disiplin program PPE serta misi lebih luas universiti berkenaan.
Taylor’s University juga mengalu-alukan permohonan bagi pengambilan 2026, menawarkan Biasiswa Eksklusif PPE dengan menanggung perbelanjaan yuran pengajian hingga 100 peratus. Pelajar berpotensi juga boleh mengetahui lebih lanjut semasa Hari Terbuka Taylor’s pada 14 dan 15 Mac ini, atau lawati pautan di sini untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial