IPOH, 10 Mac (Bernama) -- Taktik sebuah pusat snuker yang dijadikan sebagai tempat untuk orang Islam ponteng berpuasa terbongkar apabila premis di kawasan Jubilee Park, di sini itu diserbu pasukan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi Ops Ponteng hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasaan Agama JAIPk Ashraf Ismail berkata dalam operasi yang dijalankan berdasarkan risikan kira-kira seminggu itu, lapan individu berumur antara 36 hingga 59 tahun turut ditahan.
Beliau berkata lima daripada mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 iaitu tidak menghormati Ramadan dan seorang disyaki melakukan kesalahan berjudi di bawah Seksyen 26 enakmen yang sama dan ketika ditangkap, suspek sedang leka berjudi secara dalam talian.
“Dua lagi individu disiasat di bawah Seksyen 61 enakmen berkenaan kerana bersubahat, masing-masing melibatkan kesalahan berjudi di bawah Seksyen 26 dan kesalahan tidak menghormati Ramadan di bawah Seksyen 24,” katanya selepas operasi tersebut.
Ashraf berkata individu ditahan antaranya memberi alasan tidak sihat dan hanya singgah sebentar di premis itu.
"Ada yang kata hanya singgah untuk buang air kecil, duduk sebentar melihat gelagat orang dan menafikan menghisap rokok. Setelah kita (JAIPk) sertakan bukti video menghisap rokok, barulah individu itu mengakui kesalahannya," katanya.
Ashraf berkata hasil risikan mempercayai premis terbabit menjadi tempat individu Islam yang tidak berpuasa berkumpul termasuk mendapati makanan turut disediakan di situ.
Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIPk untuk siasatan lanjut.
“Operasi ini dilihat memberi kesan apabila masyarakat mula sedar bahawa aktiviti yang menyalahi undang-undang sentiasa dipantau oleh pihak penguat kuasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial