AM > BERITA

Intermark Mall Sedia Aktiviti Menarik Buat Pengunjung Sempena Aidilfitri

12/03/2026 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Intermark Mall menyambut Aidilfitri tahun ini dengan kempen "Raya Bergaya" yang menyatukan keindahan tradisi, budaya dan gaya kontemporari yang bermula dari 2 Mac lepas hingga 5 April ini.

Dalam kenyataan hari ini, Intermark Mall memaklumkan kempen di atrium utama pusat beli-belah itu diilhamkan oleh semangat silaturahim, menzahirkan komitmennya untuk mengangkat warisan budaya sambil mencipta pengalaman bermakna buat komuniti.

“Hiasan perayaan tahun ini menggabungkan keindahan budaya Melayu dan peranakan, dengan menampilkan motif ikonik seperti wau dan kuda kepang. Elemen-elemen ini turut menjadi inspirasi kepada rekaan sampul raya edisi terhad pusat beli-belah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Intermark memaklumkan pemilihan kuda kepang bukan sahaja meraikan kekayaan warisan Johor, malah menjadi penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selain bertepatan dengan sambutan tahun kuda dalam kalendar lunar.

Pengurus Besar (Pemasaran) Intermark Mall Evelyn Woon berkata kempen itu bukan sekadar tentang beli-belah pada musim perayaan atau hiasan indah semata-mata, tetapi juga menekankan peranan pusat beli-belah itu dalam memupuk komuniti dengan setiap individu berasa dihargai, diiktiraf dan diraikan.

“Sebagai destinasi di pusat bandar yang menyambut komuniti tempatan dan pengunjung antarabangsa, semoga kami dapat memainkan peranan yang kecil, namun bermakna dalam memperkenalkan keindahan budaya serta kemesraan Malaysia, khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan itu.

Intermark memaklumkan Kempen "Raya Bergaya" turut menampilkan sebuah bazar yang dihiasi khas dengan pelbagai keperluan raya, produk gaya hidup serta barangan bermusim, di samping menyokong kreativiti dan keusahawanan tempatan.

Antara jenama dan pereka tempatan yang terlibat termasuklah Carven Ong, Variante serta rakan penganjur acara Haute & Gold, sekali gus mencerminkan sokongan Intermark Mall terhadap bakat tempatan, fesyen sederhana serta perusahaan kecil.

Selain itu, Amanah Raya Berhad turut menganjurkan pop-up bagi inisiatif Bina Legasi untuk meningkatkan kesedaran serta akses kepada produk perancangan legasi kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

Pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan tradisional seperti Inang dan Zapin, selain menyertai sesi lukisan wajah oleh artis neurodivergent yang diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu terpilih sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai promosi dan ganjaran istimewa sepanjang kempen berlangsung termasuk menebus sampul raya edisi terhad dengan perbelanjaan minimum RM150 dalam satu resit.

Perbelanjaan RM50 dan ke atas pula melayakkan pelanggan menyertai pertandingan Raya Top Spender, dengan pemenang bertuah berpeluang menikmati penginapan mewah di beberapa hartanah DoubleTree by Hilton yang terpilih di seluruh Malaysia, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.

“Antara hadiah ditawarkan termasuklah penginapan tiga hari dua malam di King Terrace Suite DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur dengan pemandangan KLCC yang menakjubkan, serta penginapan mewah lain di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Menurut Intermark Mall, acara yang turut menjadi tumpuan ialah majlis Buka Puasa Komuniti yang dianjurkan dengan kerjasama Amanah Raya Berhad dan DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur yang menghimpunkan lebih 200 kanak-kanak kurang bernasib baik bersama-sama anggota unit beruniform tempatan termasuk polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Intermark Mall menerusi www.intermark-mall.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan