AM > BERITA

Aidilfitri: Lebih 1,500 Anggota Pembersihan Terlibat Operasi Di Melaka

12/03/2026 10:28 PM

MELAKA, 12 Mac (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menggerakkan lebih 1,500 anggota pembersihan dan 329 jentera bagi melaksanakan Strategi Operasi Aidilfitri di seluruh Melaka dari 16 hingga 24 Mac.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata operasi melibatkan tiga fasa, iaitu sebelum Aidilfitri dari 16 hingga 20 Mac, semasa (21 hingga 22 Mac) dan selepas (23 hingga 24 Mac) bagi memastikan tahap kebersihan awam terpelihara serta kutipan sisa lancar.

“Tumpuan diberikan kepada operasi berjadual kutipan sisa domestik dan pukal, operasi berjadual di pasar awam, kutipan sampah tong berpusat atau hotspot serta kerja pembersihan di pusat bandar, pantai dan tempat awam.

“Bagi memastikan kelancaran operasi, jadual kutipan sisa domestik diawalkan bermula 12 tengah malam pada malam hari raya manakala kutipan di tong berpusat dan jalan utama dilaksanakan pada Aidilfitri pertama,” katanya. 

Mohd Norlisam berkata demikian pada sidang media strategi operasi hari raya dan iftar SWM Environment bersama-sama agensi rakan strategik, media dan anak yatim 2026 di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka dan Johor Utara Khaw Su Aun dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor.

Mohd Norlisam berkata SWM Environment memberi perhatian khusus di 77 lokasi hotspot tong sampah berpusat bagi mengawal risiko longgokan sisa sepanjang musim perayaan.

Daripada jumlah itu, 37 terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (16), Majlis Perbandaran Jasin (19) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (lima).

Beliau juga meminta kerjasama penduduk dengan memastikan kenderaan diparkir tidak menghalang laluan jentera pembersihan bagi memastikan kelancaran operasi.

“Orang ramai juga diminta memastikan sampah atau sisa makanan diurus dengan baik seperti mengikat plastik sampah dan dimasuk ke dalam tong sampah agar tidak bersepah selain mengamalkan pengasingan sisa.

“Sisa mercun atau bunga api juga perlu dipastikan padam sepenuhnya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah bagi mengelak perkara lain berlaku,” katanya.

Mohd Norlisam berkata sepanjang tempoh operasi, Bahagian Aduan SWM akan menguruskan semua aduan penduduk yang boleh disalurkan menerusi talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau Unit Aduan Awam SWM 012-6180082 atau SWM Environment Melaka 06-3359000. 

-- BERNAMA

  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan