BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 AM > BERITA

Belanja Bawah RM500, Penduduk Kampung Darat Meriahkan Aidilfitri Dengan Lampu "Lip Lap"

13/03/2026 09:31 PM

KUANTAN, 13 Mac (Bernama) -- Hanya berbekalkan kurang daripada RM500, seorang penduduk di Kampung Darat, Sungai Ular, di sini menghiasi halaman rumahnya dengan pelbagai lampu berwarna-warni bersempena dengan sambutan Aidilfitri.

Mohd Azrul Arifin, 42, yang bekerja sendiri berkata dia mengambil masa tujuh hari untuk menyiapkan hiasan lampu di halaman rumahnya bagi menyertai Pertandingan Lampu "LipLap" yang dianjurkan Surau Pok Long Sohor, Kampung Darat.

“Kebanyakan bahan yang digunakan adalah daripada barangan kitar semula seperti paip PVC, getah dan dawai bagi membina rangka sebelum dipasang dengan lampu LED, kos keseluruhan kurang daripada RM500,” katanya ketika ditemui Bernama, semalam. 

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan rumah di Kampung Darat seakan-akan "berperang lampu" bagi menyertai dan memeriahkan Program Lampu LipLap bersempena dengan Aidilfitri.

Menceritakan pengalaman menyertai program yang julung-julung kali diadakan itu, Mohd Azrul berkata ahli keluarganya sangat membantu dalam menyalurkan idea dan membeli lampu baharu bagi mencantikkan hiasan berkenaan.

“Walau apa pun keputusan pada program itu nanti saya tidak kisah kerana yang kami satu keluarga lakukan ini adalah untuk sambut hari raya dan saya merasakan tahun ini ialah raya yang paling meriah,” katanya. 

Beliau turut bercadang untuk mengekalkan hiasan lampu itu sehingga sambutan Aidiladha bagi memeriahkan lagi suasana kampung.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Surau Kampung Darat Mohd Fadilah Abdul Ghani berkata pertandingan lampu hiasan itu tercetus daripada cadangan jemaah surau, selain bertujuan menarik lebih ramai penduduk kampung mendekati tempat ibadah itu dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

Beliau berkata walaupun idea itu tercetus secara spontan, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kira-kira 64 rumah mengambil bahagian dan hampir seluruh kampung dihiasi dengan lampu berwarna-warni.

“Kita dapat lihat daripada program ini pemasangan lampu dari bahagian luar hingga kawasan pedalaman kampung memang penuh, sekali gus menjadikan suasana kampung lebih meriah dan bercahaya pada waktu malam,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Fadilah berkata majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dijadualkan berlangsung minggu depan dan pihak penganjur berharap program itu dapat diteruskan pada 2027 berikutan sambutan baik daripada penduduk.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan