PASIR MAS, 13 Mac (Bernama) -- Sebuah keluarga bukan sahaja kehilangan rumah dan persiapan majlis pertunangan yang musnah sekelip mata, namun lebih menyayat hati apabila kira-kira 30 ekor kucing peliharaan tidak dapat diselamatkan dalam kebakaran di Kampung Paloh Hilir dekat Tendong di sini, malam tadi.
Kejadian yang berlaku pada 9.30 malam selepas solat tarawih itu menyebabkan rumah yang didiami lapan beranak berkenaan terbakar sepenuhnya yang turut memusnahkan dua kereta, tiga motosikal dan pelbagai barangan berharga dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM100,000.
Nurul Rizan Bujang, 48, berkata ketika insiden itu berlaku dia dan suami Zafri Abdullah, 47, berada di Pasir Pekan, Tumpat sebelum dimaklumkan tentang kebakaran itu oleh anak kedua mereka Mohd Aizat Azmi, 27.
“Sebaik sahaja menerima panggilan daripada anak, kami terus bergegas pulang dan mendapati rumah dan lima kenderaan termasuk dua kereta Perodua Viva sudah hangus,” katanya.
Dia berkata Mohd Aizat yang berada di rumah bersama dengan dua adiknya termasuk seorang yang kurang upaya bertindak keluar menyelamatkan diri dan dalam keadaan cemas itu, Mohd Aizat mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas terpijak bara api ketika cuba menyelamatkan diri bersama-sama adiknya.
Nurul Rizan berkata bagaimanapun, kucing peliharaan mereka tidak sempat dibawa keluar kerana api merebak terlalu pantas.
"Anak-anak saya memang sayang akan kucing yang telah dipelihara sejak beberapa tahun lepas dan menjadi peneman mereka di rumah," katanya.
Kejadian itu juga katanya, turut memusnahkan pelbagai barangan termasuk beberapa set barang kemas dan dulang hantaran untuk majlis pertunangan Mohd Aizat yang dijadualkan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri.
Nurul Rizan berkata meskipun berdepan dengan kerugian yang besar, mereka tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat, terutama anak perempuan bongsunya Nur Alisa, 13, yang menghidap sindrom Cornelia de Lange.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu PBT Nasrin Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada 9.56 malam.
Beliau berkata sebanyak 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi didapati sebuah rumah telah terbakar 100 peratus dan pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 12.10 tengah malam.
“Api cepat merebak kerana struktur rumah diperbuat daripada kayu dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial