BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 AM > BERITA

MTDC Lancar Quantum Fund RM20 Juta Untuk Biayai Pemula Niaga Teknologi

13/03/2026 06:49 PM

​KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah bekerjasama dengan Tradeview Capital Sdn Bhd untuk melancarkan MTDC Tradeview Quantum Fund dengan modal permulaan sebanyak RM20 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata kerjasama pelaburan awam-swasta itu merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem pembiayaan inovasi Malaysia.

“Memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi ekonomi dipacu teknologi dan diterajui inovasi, idea yang baik sahaja tidak mencukupi... kita mesti memastikan bahawa inovator dan syarikat teknologi mempunyai akses kepada modal, rangkaian dan perkongsian strategik diperlukan untuk berkembang secara berkesan,” katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.

Chang turut menyaksikan pemeteraian perjanjian usaha sama antara MTDC dan Tradeview Capital yang membawa kepada penubuhan Modal Lestari Sdn Bhd sebagai syarikat pengurusan dana teroka untuk kerjasama berkenaan.

Usaha sama itu adalah berasaskan nisbah 50:50.

Beliau berkata melalui kerjasama antara modal institusi dan kepakaran pengurusan dana sektor swasta, inisiatif itu memperluas pilihan pembiayaan tersedia untuk syarikat dipacu teknologi ketika ia beralih daripada fasa inovasi ke skala komersial.

MTDC beroperasi sebagai agensi pelaburan strategik dan pembangunan ekosistem di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata dana itu akan mengutamakan pelaburan dalam sektor strategik seperti elektronik dan semikonduktor, Revolusi Perindustrian 4.0, tenaga hijau, agroteknologi, teknologi kewangan dan pembuatan termaju.

“Sektor-sektor ini semakin kritikal untuk pertumbuhan perindustrian Malaysia pada masa depan,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih daripada 3,000 pertubuhan di seluruh negara terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan, melibatkan lebih 1.1 juta orang merentasi peranan berkaitan penyelidikan dan pembangunan.

Malaysia berada di kedudukan ke-33 daripada 133 negara dalam Indeks Inovasi Global 2024, kedudukan tertingginya sejak 2016.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan