MUAR, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan memastikan kemudahan Sistem eGate atau pagar elektronik yang berada di pintu masuk sempadan di negeri itu dapat digunakan secara optimum sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kemudahan yang berada di kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu akan dipastikan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah.
Beliau berkata Sistem eGate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dilihat semakin cekap dan baik serta dipercayai mampu untuk menampung penggunaan yang dijangka bertambah sepanjang tempoh itu.
“Bagi hari raya ini juga, kami akan terus pastikan kawalan terbaik di sempadan bagi menampung kesesakan. Selain penggunaan Sistem eGate, kami juga akan membuka hampir kesemua kaunter dan ini termasuk dalam agenda serta fokus Ops Raya kami di kedua-dua CIQ.
“Ops ini akan bermula pada 14 hingga 28 Mac, dengan penglibatan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Imigresen dan Kastam bagi memastikan keadaan di sempadan lancar serta terkawal,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Jualan Kasih Johor di Dewan Masyarakat Bukit Pasir di sini hari ini.
Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir berkata selain tumpuan di kawasan sempadan menerusi Ops Raya terbabit, kerajaan negeri juga akan memfokuskan kawasan dijangka sesak dengan penglibatan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Beberapa mesyuarat telah dilaksanakan berkaitan kemungkinan berlaku kesesakan pada hari raya… sama ada di sempadan atau keseluruhan negeri manakala operasi kawalan sempadan di negeri ini berjalan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Fazli pihaknya bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan 5,000 pengunjung hadir pada Program Jualan Kasih Johor yang berlangsung seawal 7.30 pagi tadi.
Beliau berkata orang ramai perlu mengambil peluang pada program yang menawarkan harga lebih rendah bagi barangan keperluan berbanding sebelum ini yang dilaksanakan pada musim-musim perayaan.
“Saya difahamkan oleh pihak FAMA, sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk Jualan Kasih Johor yang bermula pada 2023, dan peruntukan kerajaan negeri untuk enam bulan pertama tahun ini adalah RM15.4 juta,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Pengarah FAMA Johor, Faidz Afizi Mohamed.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial